KUALA LUMPUR: Kedutaan Turki menyalurkan sumbangan katil dan tilam bernilai RM850,000 bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas di Kelantan. Duta Turki Ke Malaysia, Baak Trkolu berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan itu kepada mangsa banjir berkenaan selepas melawat negeri itu baru-baru ini. "Sebanyak 1,650 buah tilam serta katil akan disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan bagi meringankan beban mereka. "Kami mengadakan lawatan ke Kelantan pada Rabu lepas dan simpati dengan keadaan rakyat negeri itu yang serba kekurangan akibat banjir," katanya selepas majlis penyammpaian sumbangan itu di sini, Isnin. Menurut Trkolu, jika semuanya berjalan lancar, sumbangan dengan kerjasama Badan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Turki (AFAD) itu akan disalurkan ke Kelantan dalam tempoh enam minggu. Sementara itu, Ketua Pasukan Petugas Khas Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof ketika ditemui bersyukur kerana Kedutaan Turki dan AFAD memberi sumbangan kepada Kelantan. "Saya bersyukur di atas bantuan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan, selain dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki," katanya.