suria

Yaman: 673 Rakyat Malaysia Dievakuasi Dari Empat Bandar

Pelajar Malaysia di Yaman, Muhammad Hafiz Muhammad Raffi, 25 (dua kiri) dan rakan-rakannya antara 52 pelajar selamat tiba di Terminal Ketibaan Antarabangsa KLIA di sini, Rabu. Mereka tiba dengan penerbangan pagi dari Doha, dan merupakan antara yang dikeluarkan dari Yaman ekoran pergolakan serius di negara itu, oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra.

KUALA LUMPUR: Sejumlah 673 rakyat Malaysia di Yaman telah dievakuasi dari empat bandar di negara berkenaan iaitu Sana'a, Hodeidah, Aden dan Hadramawt, sehingga kini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata mereka terdiri daripada 153 orang di Sana'a dan Hodeidah, 67 orang dari Aden dan 453 orang dari Hadramawt.

Bagaimanapun, masih terdapat 215 rakyat Malaysia di Yaman iaitu 38 orang di Sana'a, 176 orang di Hadramawt dan seorang di Hodeidah.

"Sehubungan itu, kerajaan ingin menggesa rakyat negara ini yang masih berada di Yaman untuk menimbang semula keputusan mereka untuk kekal di negara itu yang sedang bergolak," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, 67 rakyat Malaysia yang dievakuasi dari Aden pada Selasa lepas, dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini melalui dua penerbangan dari Jeddah.

Sebanyak 25 orang dijangka tiba di tanah air dengan penerbangan Sri Lankan Airlines UL314 pada pukul 2.05 petang ini manakala baki 42 melalui penerbangan Emirates Airlines EK346 pada pukul 3.05 petang.

Malam Rabu, 176 rakyat Malaysia tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan komersial, penerbangan Qatar Airways QR852 pada pukul 8.50 malam membawa 74 orang dan penerbangan Oman Air WY821 mendarat pukul 11.35 malam dengan 102 orang.-- Bernama

Malaysia, Aden, Hodeidah

Artikel Lain