suria

Cadangan Calon BN PRK Rompin, Permatang Pauh Nama Sama

Hasan (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Umno Bahagian Rompin di Pejabat Umno Bahagian Rompin pada Ahad lalu. -fotoBERNAMA

ROMPIN: Hasan ialah nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Rompin dan Permatang Pauh Mei ini.

Sebagaimana di Permatang Pauh, Pengarah Biro Tata Negara Hasan Mohamad antara nama yang banyak disebut sebagai bakal calon untuk PRK 7 Mei, di Rompin, Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin ialah antara nama yang disebut-sebut untuk PRK Rompin pada 5 Mei.

Nama lain ialah Ketua Pemuda Umno Rompin Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Selepas kematian anggota Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas, nama Hasan paling kuat kedengaran dicadangkan sebagai calon di kawasan parlimen yang mempunyai keluasan 5,390.2 kilometer persegi itu.

Dalam usianya yang mencecah hampir 56 tahun, Hasan bukanlah calang-calang orang dalam bidang politik di Pahang kerana beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang pada tahun 1995 hingga 1999.

Semasa memegang jawatan timbalan menteri besar Pahang, antara peranannya yang menyerlah dan dikenang ialah menjadi orang yang bertangungjawab membangunkan kawasan perindustrian Gebeng, antara nadi kegiatan ekonomi Pahang pada waktu ini.

Hasan yang dilahirkan di Kampung Ayau, Leban Chondong, juga antara orang penting yang memainkan peranan memastikan kejayaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur selain memperbesarkan Pelabuhan Kuantan.

Bagi penduduk Rompin mahupun Pahang, Hasan dikenali melalui jasa dan sumbangan sejak menyertai Umno pada tahun 1976.

Bermula dengan menjadi anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan pada 1978, Hasan kemudian menjadi Ketua Pemuda Umno bahagian itu pada 1984 sebelum beralih angin ke kawasan Rompin, memegang jawatan yang sama pada  1986.

Melihat kepada kredebiliti yang ditunjukkan, Hasan terus diberikan kepercayaan untuk menerajui Umno Bahagian Rompin pada 1990-2004 selain pernah menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam dan anggota Exco kerajaan negeri.

Beliau juga pernah menjadi pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian negeri Pahang dan ahli Lembaga Pengarah Felda.

Maka tidak hairan jika Hasan menjadi pilihan masyarakat setempat kerana beliau dilaporkan mudah didekati rakyat dan dikenali penduduk Rompin tanpa mengira usia.

Umno Bahagian Rompin dilihat senada dengan cakap-cakap dalam kalangan khalayak dengan secara berkias menyatakan mereka menolak calon luar.

Bagaimanpun selain Hasan, Mohamad Sahfri turut disebut sejak kebelakangan ini dan ia dikuatkan lagi dengan catatan Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang membayangkan beliau menjadi pilihan pucuk pimpinan pusat.

"Nama yang dihantar berpengalaman luas, anak peneroka Felda, anak tempatan, latar belakang agama dan pemimpin kanan Pemuda Umno," paparan yang jelas membayangkan Mohamad Sahfri.

Beliau kini merupakan Penolong Setiausaha Pemuda Umno, pernah menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam selama dua penggal bermula 2004 hingga 2013.

Semasa menyandang jawatan itu, beliau diberi kepercayaan menjadi anggota Exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Dakwah Islamiyah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Rompin sejak 2004 hingga 2014 namun tewas kepada Datuk Mohd Johari Hussain pada pemilihan Pemuda Umno akhir tahun 2013.

Walaupun ayahnya merupakan peneroka Felda Keratong, namun beliau dilahirkan di Kedah menyebabkannya kurang menepati kehendak penduduk Rompin yang mahukan anak kelahiran tempatan menjadi wakil rakyat.

Biar siapapun calon yang diletakkan nanti, namun Barisan Nasional perlu juga menepati calon yang kehendaki rakyat setempat untuk memastikan Rompin terus kekal sebagai kubu kuat Umno.

Ini juga kerana dipercayai keputusan PRK Rompin nanti sedikit sebanyak akan turut mempengaruhi keputusan PRK Permatang Pauh.

Artikel Berikut

Artikel Lain