PETALING JAYA: Waris keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 kini menarik nafas lega apabila operasi pencarian pesawat hilang tersebut diperluaskan. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Australia dan China diatas komitmen untuk terus mengesan pesawat Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia (MAS). Namun, ada di antara mereka masih tertanya-tanya sama ada selatan Lautan Hindi adalah lokasi nahas sebenar memandangkan tiada serpihan kecil pesawat ditemui dalam tempoh lebih setahun. Anak perempuan penumpang Ann Daisy, Grace Subathirai Nathan menyatakan rasa syukur terhadap ketiga-tiga kerajaan dan berharap operasi pencarian akan diteruskan sehingga pesawat tersebut ditemui. Calvin Shim, suami kepada anak kapal, Tan Ser Kuin berkata pengumuman bahawa operasi pencarian akan diperluaskan sebanyak 60,000 kilometer persegi menamatkan teka-teki kepada waris keluarga yang bimbang operasi pencarian akan ditamatkan. Bagaimanapun beberapa waris keluarga seperti Lee Khim Fatt yang isterinya adalah antara salah seorang anak kapal, Foong Wai Yueng semakin ragu-ragu sama ada pihak berkuasa mencari di kawasan yang sebenar. "Mengapa mereka begitu yakin dengan data satelit dan bahawa pesawat itu hanya boleh berada di sana?," katanya. Beliau berkata beberapa penduduk di Maldives melaporkan ternampak sebuah pesawat seperti Boeing 777 terbang rendah di kepulauan tersebut semasa pesawat MH370 dilaporkan hilang. "Tidak bolehkah mereka menghantar pasukan untuk mengesahkan dakwaan penduduk di Maldives itu?," katanya. Maldives terletak beribu-ribu kilometer dari lokasi pencarian. Mohammad Sahril Shaari, sepupu kepada penumpang, Mohammad Razahan Zamani berkata sekiranya pesawat itu berada di lokasi pencarian, serpihannya pasti akan ditemui sekarang. "Mereka berada di sana selama lebih setahun dan masih belum menjumpai sebarang bagasi," katanya. Mohammad Sahril berkata dia bimbang pasukan pencarian hanya membazir masa mencari di lokasi yang salah.