PETALING JAYA: Lebih banyak kes membabitkan jangkitan tangan, kaki dan mulut dijangka melanda negara pada tahun ini tetapi Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa situasi tersebut masih lagi terkawal. Orang ramai turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, sejak Januari hingga 11 April lalu, sebanyak 13,497 kes dilaporkan di seluruh negara dengan purata 964 kes seminggu. Kes tersebut meningkat sebanyak 83 % berbading tempoh masa sama pada tahun lalu yang merekodkan 7,368 kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian amat bimbang mengenai peningkatan kes jangkitan tersebut. "Namun situasi masih lagi terkawal," katanya ketika ditanya mengenai situasi semasa berhubung jangkitan tersebut. Beliau berkata HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, dengan satu atau dua waktu puncak setahun. "Berdasarkan pemantauan kami, waktu puncak yang besar berlaku sekali setiap tiga tahun. Bilangan kes tertinggi adalah pada 2012 dengan 34,519 kes tetapi hanya satu kematian dicatatkan. Kami menjangkakan peningkatan kes pada tahun ini," katanya. Seorang murid Tahun Satu mengalami demam dan sakit di tangan dan mulut selama lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Baru pada Jumaat lalu. Namun kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Dr Noor Hisham berkata peningkatan mendadak kes ini mungkin disebabkan pengumpulan 'populasi naif' dikalangan kanak-kanak yang tidak didedahkan dengan penyakit tersebut. Beliau berkata pihak kementerian telah meningkatkan kesedaran mengenai HFMD terutama di tadika dan pusat asuhan kanak-kanak. Katanya, langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah diambil terutama di kawasan wabak (ditakrifkan sebagai dua kes di kawasan dan dalam tempoh yang sama). Kementerian turut memperkukuhkan pengurusan perubatan kes HFMD dan menjalankan pengawasan virologi. "Sehingga hari ini, tidak ada peningkatan kes penyebaran virus HFMD," katanya.