SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa selepas kemenangan besar parti Islam itu di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, perdana menteri ketika itu kemudiannya meminta PAS supaya meluluskan undang-undang hudud dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). "Selepas kita menang pilihan raya 1990 di Kelantan, perdana menteri ketika itu... saya tidak mahu sebut nama dia, minta kita untuk meluluskan undang-undang hudud dalam sidang DUN. "Sebaik sahaja diberitahu mengenai perkara itu, kita menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkajinya dan dan menetapkan undang-undang. "Sebelum kita bawa ke dalam sidang DUN, kita mengadakan seminar-seminar untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai undang-undang itu. Parti-parti politik, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara menghadiri seminar tersebut," katanya dalam sesi dialog yang dianjurkan Sinar Harian di sini, Rabu. PAS, yang bersama dengan pakatan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990, memperoleh kesemua 39 undi kerusi DUN pada pilihan raya itu. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri ketika itu. Pada 19 Mac lalu, sidang DUN Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun JenayahSyariah 11 1993 (Pindaan 2015) bagi memberi laluan untuk pelaksanaan hudud. Abdul Hadi kemudiannya memfailkan permohonan rang undang-undang persendirian di Parlimen tetapi ia tidak dibincangkan sehingga sidang Dewan Rakyat berakhir, baru-baru ini.