suria

PRK Rompin: Jeti Akan Dinaik Taraf Untuk Faedah Pelancongan - Tiong Lai

Jeti lama di Bandar Lama, Kuala Rompin.
ROMPIN: Jeti Kuala Rompin akan dinaik taraf bagi memberi faedah kepada pengusaha bot tempatan dan pelancong, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Khamis.

Menteri Pengangkutan berkata pada masa ini, kira-kira 40 hingga 50 buah bot telah beroperasi di jeti lama dan tidak terurus.

Tiong Lai berkata masalah mereka telah dibawa ke pengetahuan beliau semasa melawat kawasan itu.

"Pengendali membawa pemancing tempatan dan antarabangsa ke laut untuk aktiviti memancing ikan layaran.

"Rompin terkenal dengan hobi unik ini yang telah menarik ramai pelawat asing setiap tahun," katanya.

Tiong Lai berkata untuk membawa masuk lebih ramai pengunjung, jeti perlu dibina semula dan dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih baik.

Beliau berkata peruntukan akan diminta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan ini.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

"Ini merupakan komitmen kami dan kami akan membantu penduduk tempatan dan meningkatkan sektor pelancongan di Rompin," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Tiong Lai berkata petani Rompin juga telah memohon bantuan untuk meluaskan ladang-ladang mereka.

Beliau berkata, hasil buah-buahan dan sayur-sayuran kebanyakannya untuk pasaran eksport.

"Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan kawasan pengeluaran makanan kekal.

"Ini akan membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan eksport untuk negara," katanya.

Tiong Lai, yang juga Presiden MCA, berada di sini untuk membantu kempen calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin di PRK Rompin.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang ditemui dalam kunjungannya kenal dan selesa dengan Hasan.

"Saya berharap mereka akan memberi sokongan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Rompin.

"Hasan adalah adalah seorang yang penuh keazaman dan peka dengan keperluan rakyat di sini," katanya.

Hasan akan berdepan Nazri Ahmad dari PAS dalam saingan satu lawan satu.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terbunuh dalam nahas helikopter bersama lima yang lain pada 4 April dekat Semenyih.

Artikel Lain