suria

Sidang Kemuncak Asean ke-26: Transkrip Wawancara PM Bersama Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditemubual Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabatnya, Rabu, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 26 dan 27 April. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Berikut adalah transkrip wawancara Bernama bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai Sidang Kemuncak Asean ke-26 yang dihoskan Malaysia dari 26 hingga 27 April di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Perdana menteri ditemu ramah oleh Timbalan Ketua Pengarang Mokhtar Hussain dan tiga pengarang iaitu Nor Faridah Abd Rashid, Abdul Rahman Ahmad dan Jamaluddin Muhammad.


SOALAN: Apa signifikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 ini dengan Malaysia selaku tuan rumah? Apa yang ingin dicapai oleh Malaysia?


NAJIB: Sejak penubuhan ASEAN pada 1967, saya anggap tahun ini tahun yang paling signifikan dalam perkembangan ASEAN sebagai satu regional entity (entiti serantau). Tahun ini kita akan mengisytiharkan, memasyhurkan ASEAN sebagai satu economic community (komuniti ekonomi).
Pemasyhuran ASEAN sebagai satu economic community amat signifikan dan ini akan dilakukan waktu Malaysia mempengerusikan ASEAN. Jadi tahun ini amat bersejarah sebab itulah saya amat berharap ASEAN Summit (Sidang Kemuncak ASEAN) tahun ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam lipatan sejarah ASEAN sebagai satu badan regional (serantau).

SOALAN: Ada juga yang bertanya mengapa persidangan kali ini diadakan di dua tempat iaitu Kuala Lumpur dan Langkawi. Apa rasionalnya?

NAJIB: Saya nak buat dengan cara yang agak ada kelainan sedikit. Yang pertama, tentu sekali ASEAN Summit preliminary session (sesi awal Sidang Kemuncak) perlu kita buat di Kuala Lumpur sebab ia akan jadi tumpuan bukan saja kepada seluruh negara tapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa...lebih mudah mereka (delegasi) membuat tumpuan apabila persidangan berlaku di Kuala Lumpur.
 Saya juga bercadang untuk membuat sidang retreat (pemukiman) di Langkawi sebab bila kita mengadakan retreat di Langkawi, suasananya agak berlainan. Dalam keadaan yang lebih santai, kita boleh bertukar-tukar fikiran dalam suasana yang lebih informal (tidak formal) dengan harapan bahawa ia akan mengukuhkan lagi hubungan antara pemimpin-pemimpin ASEAN. Di samping itu, saya juga berhasrat untuk menonjolkan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di rantau ini.


SOALAN: Bagaimana Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2015 hendak mengemudi ASEAN dalam usaha membentuk Komuniti ASEAN?

NAJIB: Kita mesti pastikan bahawa blueprint (rangka tindakan) ASEAN sebagai sebuah komuniti itu yang berpaksikan kepada three pillars of ASEAN (tiga tonggak utama Komuniti ASEAN) segala-galanya yang terkandung dalam blueprint itu kita boleh penuhi, kita laksanakan walaupun kita tahu bahawa blueprint itu menjangkau lebih daripada 2015. 
Selain mewujudkan ASEAN sebagai sebuah economic community yang memberi tumpuan kepada ASEAN sebagai sebuah pasaran bagi 625 juta penduduknya dan mempunyai GDP (KDNK) US$2.5 trilion.
Di samping itu juga, ASEAN sebagai satu komuniti yang kelas pertengahannya semakin berkembang, bererti kuasa pembeli sebagai satu komuniti ini akan terus meningkat. Jadi signifikan ASEAN sebagai satu komuniti akan lebih menyerlah sekiranya blueprint itu dapat kita laksanakan sepenuhnya.

SOALAN: Apakah acuan Komuniti ASEAN yang cuba digarap Malaysia? Apakah cabaran-cabaran dan langkah untuk mencapainya?

NAJIB: Kita mahu wujudkan Komuniti ASEAN yang bersifat lebih politically cohesive (padu dari segi politik) dan lebih integrated (bersepadu) dari segi ekonomi dan juga lebih kukuh lagi...lebih mantap lagi dari segi pembangunan sosial dan cultural (kebudayaan).
Ini kita lihat berdasarkan blueprint, kita boleh melakukan perkara ini dan di samping itu kita mesti pastikan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Sebab itu bukan sahaja kita lihat ASEAN sebagai sebuah komuniti secara dalaman, malah hubungan ASEAN dengan kuasa luar terutama kuasa-kuasa besar juga penting sebab Lautan China Selatan dengan Selat Melaka merupakan dua kawasan perairan yang penting dan strategik. 
Sebab itu signifikan ASEAN bukan sahaja dalam konteks ASEAN itu sendiri tetapi dalam konteks yang lebih luas lagi.

SOALAN: Boleh Datuk Seri huraikan tentang visi 'ASEAN Berpaksikan Rakyat' (People-Centred ASEAN) yang mahu diterapkan dalam kalangan lebih 600 juta penduduk ASEAN selaras dengan tema 'Rakyat Kita, Komuniti Kita, Wawasan Kita' pada sidang kemuncak kali ini?

NAJIB: Malaysia memilih tema People-Centred ASEAN ini sebab pada hemat saya, konsep ASEAN belum dihayati sepenuhnya oleh rakyat di negara-negara ASEAN...jadi bila kita tumpukan pada warganya, kita mesti mengusahakan komunikasi kita dengan rakyat supaya rakyat memahami dan menghayati signifikan ASEAN itu dalam konteks keseluruhan makro serta pengertian bagi individu. 
Misalnya lawatan tanpa visa, itu adalah signifikan kepada individu. Jika kita pengeksport, kita boleh eksport ke 10 negara ASEAN tanpa dikenakan tarif, bererti kita melihat pada pasaran yang lebih besar. Selain itu, kebolehan kita bekerja sebagai seorang profesional, boleh berpindah ke negara-negara ASEAN. Kalau kita sebuah badan korporat pula, kita boleh melabur dalam ASEAN, wujudkan cawangan-cawangan kita berdasarkan pertimbangan serantau.
Ini semua pengertian besar yang mendalam dalam konteks individu serta konteks kelompok yang lebih besar..
Begitu juga, Malaysia cuba kenal pasti komuniti atau kelompok-kelompok tertentu dalam ASEAN yang kita perlu beri tumpuan. Contohnya, kumpulan pengusaha dan keusahawanan yang menjadi antara cabang yang akan kita beri tumpuan.
Sebab itu kita ada MaGIC (Malaysian Global Innovation and Creativity Centre), pusat kembangkan aktiviti keusahawanan yang boleh dimanfaat oleh ASEAN.
Kita juga ingin bagi tumpuan kepada belia, sebab belia merupakan kumpulan atau kelompok masyarakat yang amat penting untuk teruskan kelangsungan ASEAN  pada masa akan datang.
Kepimpinan melibatkan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), civil society (masyarakat sivil), Member of Parliament (anggota Parlimen), ini semua berperanan dalam menyebarluaskan signifikan ASEAN kepada setiap kelompok dalam ASEAN.

SOALAN: Sidang Kemuncak ASEAN dijangka mengeluarkan deklarasi yang menyentuh soal kesederhanaan (moderation). Bagaimana Datuk Seri hendak menerapkan konsep kesederhanaan dalam ASEAN? Sejauh mana kepentingannya dalam konteks serantau  dan bidang rangkum lebih luas (ASEAN and beyond)?

NAJIB: Kesederhanaan amat penting kerana ia merupakan satu daripada nilai utama yang sudahpun diterima di peringkat ASEAN sebelum ini.
Ia perlu diterapkan dalam mesej atau naratif yang timbul dalam sidang-sidang ASEAN bagi mengingatkan kita semua bahawa kalau rantau ini ingin kekal aman dan damai, pertamanya kita mesti menolak fahaman fanatik, ekstremis dan militan.
Kedua, perlu ditekankan bahawa masalah-masalah itu bukan masalah agama.
Dalam konteks ASEAN, kita lihat pelbagai agama, fahaman diamalkan tetapi fahaman yang berbeza ini tidak seharusnya menimbulkan konflik atau perbalahan.
Ini tidak terhad pada sesuatu agama sahaja tetapi secara umum...mana-mana agama pun, kalau wujud fahaman yang ekstrem, fanatik dan militan, tentu sekali akan berlaku perbalahan dan konflik.
Jadi inilah mesej yang kita cuba terapkan bukan sahaja semasa Malaysia menjadi pengerusi (ASEAN 2015), tetapi untuk tempoh berterusan.

SOALAN: Setelah hampir lima dekad ASEAN wujud, apakah analisis Datuk Seri mengenai keberkesanan badan itu dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau?

NAJIB: Saya lihat sebagai badan serantau, ASEAN boleh disifatkan sebagai amat berjaya. Pada umumnya, rantau ini adalah rantau yang aman dan stabil berbanding dengan rantau-rantau lain yang kita lihat wujudnya konflik atau ketegangan (tension) yang agak tinggi. Tapi ASEAN ini kita boleh lihat pada umumnya kawasan yang aman dan stabil walaupun masih ada lagi tempat-tempat tertentu di mana proses untuk mencari penyelesaian masih berterusan, misalnya dalam konteks Bangsamoro yang mana kita menjadi fasilitator dan ini masih berjalan. (Keamanan di) kawasan Selatan Thailand juga masih lagi diusahakan dan Malaysia juga menjadi fasilitator.

SOALAN: Apa pandangan Datuk Seri mengenai laporan berhubung ketegangan di Laut China Selatan berikutan isu tuntutan bertindih wilayah maritim? Apa status rundingan mengenai Code of Conduct?

NAJIB: Saya lihat cabaran ini - tuntutan bertindih di Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Malah, mana-mana soal pertindihan tuntutan wilayah dan sebagainya antara dua negara secara bilateral adalah kompleks apatah lagi bila ia bersifat multilateral melibatkan pelbagai negara.
Negara China pun ada kepentingan besar dalam soal ini, jadi sudah tentu bila melibatkan beberapa negara ASEAN dan kuasa besar dan sebagainya, tentu sekali isu ini lebih kompleks dan multidimensional. Sebab itulah kita mesti menangani isu ini dengan berhemah berasaskan kepada prinsip-prinsip yang kita telah pun kenal pasti.
Prinsip ini antaranya mesti kita lakukan perundingan tanpa menggunakan kuasa (show of force), tanpa membenarkan timbulnya ketegangan ataupun apa-apa taktik seperti tekanan kepada negara-negara kecil dan sebagainya. Itu satu prinsip.
Satu lagi prinsip adalah yang berdasarkan undang-undang, the rule of law UNCLOS (United Nations Convention on the Law of the Sea) sebab ini merupakan  prinsip penyelesaian apa-apa tuntutan berdasarkan rule-based (berasaskan pematuhan undang-undang). Tanpa rule-based ini, susah untuk kita mencari penyelesaian secara damai.
Ketiga, perlu dicari garis panduan supaya pada keadaan seharian tidak berlaku pertembungan. Sebab itulah Declaration of Conduct (Deklarasi Tatalaku) dan seterusnya perlu diterjemahkan dalam bentuk Code of Conduct (Kod Tatalaku)dalam mewujudkan satu bentuk panduan untuk semua pihak dalam hubungan seharian supaya walaupun ada tuntutan yang bertindih tetapi tidak berlaku pergeseran atau konflik di kawasan ini.

SOALAN: Ada laporan ketegangan semakin meningkat di kawasan itu. Bagaimana negara-negara terbabit harus menanganinya?

NAJIB:Itulah saya katakan bahawa kita harus cuba mengelak perkara ini sampai ke satu peringkat yang keterlaluan. Saya tidak boleh menafikan memang ada perbezaan pendapat dan mungkin juga dari segi bilateral wujud ketegangan sedikit sebanyak, tetapi pada umumnya isu ini masih kita boleh kawal dan boleh kita mainkan peranan dalam konteks ASEAN supaya isu ini kita dapat uruskan sehingga dapat satu bentuk penyelesaian. Tetapi tidak mudah kerana isu ini amat kompleks dan amat sensitif.


SOALAN: ASEAN dilihat mampu membawa kuasa-kuasa besar dunia untuk duduk semeja membincangkan perkara yang mempunyai kepentingan bersama. Bagaimana Datuk Seri melihat "ASEAN's clout" di pentas antarabangsa?

NAJIB: Kita sudah diiktiraf, sebab itulah East Asia Summit (EAS) (Sidang Kemuncak Asia Timur) merupakan sebuah bentuk regional architecture (kerangka serantau) yang disambut baik oleh kuasa-kuasa besar dengan penyertaan China, Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Korea Selatan, India, semua datang selain Australia dan New Zealand dan sebagainya. Jadi kita lihat bahawa EAS mendapat sambutan yang begitu hangat dan mereka iktiraf regional architecture ini sebagai satu platform yang penting.
Di samping itu, kuasa-kuasa besar ini pun mengakui bahawa dalam konteks regional architecture ini, ia mesti dipandu oleh ASEAN, maknanya the centrality of ASEAN (pemusatan ASEAN) adalah amat penting. Jadi ASEAN ini menjadi seperti satu badan penggerak kepada regional architecture EAS dan mereka menghormati peranan yang dimainkan oleh Asean.

SOALAN: Sejauh mana Datuk Seri melihat tahap ancaman kumpulan militan IS di rantau ini dan bagaimana ASEAN harus menanganinya?

NAJIB: Perkara ini telah dibincangkan pada sub-forum ASEAN iaitu ASEAN Defence Ministers' Meeting (ADMM) (Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN), dan ADMM-Plus yang diadakan di Langkawi baru-baru ini juga telah jadikan isu ini sebagai satu perkara penting yang dibincangkan. Ini bermakna ASEAN sedar dan ASEAN telah bertindak melalui menteri-menteri pertahanan, menteri-menteri dalam negeri, polis, angkatan tentera dan sebagainya supaya ditingkatkan kerjasama.
Ini supaya ASEAN secara kolektif dan bilateral boleh bekerjasama dengan lebih erat lagi untuk menangani ancaman IS yang tidak boleh dan tidak mampu kita tangani secara individual nation (bersendirian). Kita mesti bertindak secara kolektif.

SOALAN: Adakah isu ini akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN nanti?

NAJIB: Tentu sekali tetapi secara detail perbincangannya lebih sesuai dilakukan di forum seperti ADMM tetapi pada prinsipnya, pada soal dasarnya, sudah tentu ia akan disentuh dalam kalangan ketua-ketua kerajaan.

SOALAN: Datuk Seri, memandangkan tidak sampai lapan bulan lagi untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), apa lagi persiapan yang perlu dilakukan ASEAN?

NAJIB: Ada beberapa perkara lain yang perlu dilakukan kalau kita lihat dalam konteks ASEAN sebagai sebuah economic community. Tentu sekali penurunan atau pemansuhan tarif, ini masih boleh kita tingkatkan lagi. Di samping itu, kita tidak boleh benarkan non-tariff barriers (halangan bukan berbentuk tarif) pula wujud. Inilah jadi satu ancaman baharu yang mana walaupun financial tariff (tarif kewangan) kita kurangkan tetapi non-tariff barriers pula, kalau ia naik, ia jadi counter productive (tidak produktif).
Jadi inilah yang saya nak tekankan dalam intervensi dan ucapan-ucapan saya bahawa kita mesti menerima konsep ASEAN sebagai economic community ini secara menyeluruh, dan tidaklah satu aspek kita setuju tapi aspek lain kita membenarkan apa yang kita sebut "pricing nationalism" (penetapan harga kebangsaan) ini sebagai ancaman yang boleh menidakkan usaha kita untuk mewujudkan ASEAN sebagai economic community yang bermakna.

SOALAN: Berdasarkan tanggapan itu, ada yang berpandangan bahawa AEC ini tidak mungkin dapat dicapai.

NAJIB: Tidak begitu. Sebaliknya saya percaya ia akan tercapai bila kita umumkan pada akhir tahun ini ASEAN sebagai sebuah economic community. Banyak telah kita capai sebenarnya tetapi kita mesti beri tumpuan supaya kita tidak membenarkan tekanan domestik ini dalam bentuk non-tariff protection dan barriers jadi sebagai satu ancaman kepada konsep ASEAN sebagai sebuah economic community.


SOALAN: Datuk Seri, dalam kalangan anggota ASEAN ada ketidakseimbangan dari  segi pertumbuhan ekonomi dan penyediaan infrastruktur asas termasuk dalam soal  merealisasikan ASEAN connectivity. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Mengurangkan jurang pembangunan atau to reduce and close the developmental gap merupakan satu daripada agenda ASEAN. Jadi kita menggalakkan bahawa dalam soal masterplan connectivity (pelan induk kesambungan), kita nak lihat bagaimana negara-negara yang mungkin tidak seimbang dari segi tahap pembangunan diberi peluang untuk catch-up (menyaingi) ataupun untuk meningkatkan lagi pembangunan mereka terutama dari segi infrastructure (infrastruktur) dan connectivity (kesambungan) supaya pembangunan itu lebih inklusif dan seimbang. 
Usaha-usaha perlu kita lakukan di peringkat ASEAN tetapi peranan setiap kerajaan juga amat penting untuk menentukan tahap pembangunan dalam konteks negara masing-masing dapat dicapai. Kalau tak tinggi pun sederhana tinggi. Tapi umumnya secara kolektif, ASEAN dapat capai kadar pertumbuhan lima hingga enam peratus, satu pencapaian yang boleh dianggap sebagai menggalakkan.

SOALAN: Bagaimana ASEAN hendak atasi kecenderungan segelintir negara anggota memperkenal non-tariff barriers yang dilihat boleh menjejaskan usaha ke arah menjadikan rantau ini satu pasaran terbuka?

NAJIB: Kita harap kepada political will (kesungguhan politik) mereka (untuk mengelak perkara itu berlaku) sebab kadang-kadang ia berlaku waktu ada pilihan raya, ada kecenderungan untuk memainkan sentimen populis. Tetapi pada keseluruhannya setiap pemimpin ASEAN sedar bahawa ASEAN itu lebih besar daripada kepentingan yang sempit yang saya sifatkan sebagai narrow nationalism (nasionalisme sempit). Kalau narrow nationalism ini wujud ia tidak akan menguntungkan mereka sebenarnya. Kalau kita dok main soal populis dan isu-isu populis sahaja, tetapi akhirnya ia tidak menguntungkan negara kita sendiri.

SOALAN: Komuniti perniagaan global sekarang dilihat lebih memberi tumpuan kepada terhadap China dan India. Bagaimana kita hendak mengalih perhatian mereka ke arah ASEAN?


NAJIB: Saya hendak tonjolkan ASEAN sebagai 'the third force', (kuasa ketiga) maknanya mereka tidak boleh memberi tumpuan kepada negara-negara dengan pasaran besar seperti negara China dan India sahaja, contohnya. 
Tetapi saiz ASEAN secara kolektif dengan 625 juta penduduk dan with rising middle class (peningkatan kelas menengah) boleh merupakan apa yang saya lihat sebagai the third force yang vibrant (cergas) dan mempunyai potensi yang besar.

SOALAN: Memandangkan Malaysia adalah pengerusi ASEAN 2015 dan juga anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bagaimana Datuk Seri lihat Malaysia boleh menggunakan kedudukan itu untuk memperjuangkan kepentingan dan suara ASEAN di peringkat antarabangsa?


NAJIB: Misalnya, atas kapasiti sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia dijemput untuk mewakili pertubuhan pada Persidangan G20 tahun ini di Turki. Saya dijemput atas kapasiti sebagai pengerusi ASEAN dalam kelompok G20. Maknanya, apabila kuasa-kuasa besar berkumpul, berjumpa dan bersidang nanti, ASEAN diwakili melalui Malaysia.
Apabila saya berucap di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu nanti, insya-Allah, maknanya saya boleh sebut peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, dan kalau ada forum-forum lain juga, boleh saya ketengahkan mesej-mesej ASEAN ke dunia luar.


SOALAN: Apakah mesej penting yang akan dibawa oleh Malaysia pada sidang ASEAN kali ini dan apakah langkah seterusnya bagi ASEAN selepas 2015?


NAJIB: Kita ada dua mesej yang penting. Yang pertama, untuk merealisasikan blueprint ASEAN sebagai sebuah komuniti dan kedua ialah ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, kita akan memulakan proses untuk melakar visi pasca-ASEAN 2015. 
Ini merupakan satu panduan visi yang akan datang untuk ASEAN. Maknanya pengertian atau signifikan tahun ini buat Malaysia dan ASEAN adalah besar, kerana kita ingin melangkau jauh, bukan sahaja dengan pengisyitharan ASEAN sebagai Economic Community tetapi juga post-2015 vision for ASEAN.

Artikel Lain