JOHOR BAHARU: Tindakan blogger kontroversi Alvin Tan memuat naik rakaman video mempersendakan azan baru-baru ini didorong pemikiran tidak waras, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong. Wee berkata seorang rakyat Malaysia yang waras tidak akan melakukan perkara yang menimbulkan kontroversi, lebih-lebih lagi membabitkan soal azan. "Di Malaysia, kita hendak membina satu bangsa yang saling hormat menghormatidan faham budaya orang lain dan bukanlah dengan melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan. "Saya bagi contoh... kalaulah masyarakat Cina mengadakan sembahyang dan kaum lain pula menjadikan ia sebagai bahan ketawa, apa reaksi kita? Sama juga," kata beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Teknologi Pembinaan dan Bahan Binaan Selatan Malaysia (Onebuild), pada Jumaat. Wee mengulas provokasi terbaharu Tan yang sengaja memuat naik rakaman videoke laman sosial You Tube, Selasa lepas menunjukkan dia mengalunkan azan dalam rentak R&B tanpa berbaju sambil bermain keyboard. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tindakan itu juga menunjukkan Tan masih berdegil biarpun pernah dikecam pelbagai pihak retetan tindakannya menghina agama Islam sebelum ini. "Kita tahu ini bukannya kali pertama Tan berbuat demikian dan saya anggap dia sebenarnya hendak mencabar (kerajaan) walaupun kita sudah terangkan bahawa Malaysia mempunyai saluran toleransi lain bagi pelbagai pihak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka," katanya. Mengenai isu lain, Wee yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam, yakin pembangkang akan menggunakan segala taktik untuk menjatuhkan imej kerajaan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh yang berlangsung tidak lama lagi. Sehubungan itu, Wee berkata beliau dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai akan turun ke padang untuk menerangkan segala usaha yang dilakukan kerajaan kepada masyarakat tempatan. "Saya tidak memandang remeh PRK ini, baik untuk Rompin atau Permatang Pauh kerana hampir 23 peratus atau 17,000 pengundi di Permatang Pauh adalah masyarakat Cina, berbanding 1,381 di Rompin," katanya. PRK Permatang Pauh ditetapkan pada 7 Mei ini dengan penamaan calon berlangsung pada Sabtu manakala pengundian awal 3 Mei manakala PRK Rompin pula diadakan pada 5 Mei ini dengan penamaan calon berlangsung pada 22 April lepas.-BERNAMA