KUALA LUMPUR: Novel dan buku rujukan menjadi tumpuan pengunjung pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat. Tinjauan mStar Online mendapati, rata-rata pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti yang tidak henti memenuhi PWTC sejak ia dibuka pada pagi Jumaat. Menurut jurucakap syarikat penerbitan terkenal, Sasbadi Holding, buku rujukan antara yang mendapat sambutan pada hari pertama pesta. "Setakat ini buku rujukan antara yang menjadi perhatian pengunjung, namun ini hanya untuk hari pertama dan trend mungkin akan berubah esok," jelasnya. Selain itu, novel-novel terbitan beberapa syarikat turut mendapat sambutan ramai antaranya ialah Lejen Press dan Fixi. Antara novel dan cerpen yang laris dijual pada hari pertama ialah seperti “Hikayat Raja Babi” karya Usop Abdul Kadir, “Urban” (Azrin Fauzi) serta “Pakar” karya Nadia Khan. Menurut salah seorang pengunjung di khemah Lejen Press dan Fixi, Syifa Abdullah, 22, dia lebih berminat untuk membaca karya-karya yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan indie kerana kisah yang diketengahkan lebih menarik dan berlainan daripada novel-novel biasa. "Selalunya novel-novel yang ada di pasaran menceritakan mengenai cinta tetapi novel yang diterbitkan Lejen Press dan juga Fixi berlainan daripada novel-novel biasa. "Cerita yang diterbitkan oleh Lejen Press dan juga Fixi adalah lebih kepada isu semasa misalnya isu lesbian dan gay," ujarnya. Sebanyak 115 syarikat penerbitan mengambil bahagian pada Pesta Buku Antarabangsa 2015 yang bermula dari 24 April dan berakhir pada 3 Mei depan.