suria

Warga Emas Didakwa Rangsang 11 Kanak-Kanak

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Jumaat  atas 11 pertuduhan merangsang 11 kanak-kanak lelaki untuk melakukan kelucahan melampau dengannya sejak dua tahun lepas.

Noor Din Chaw Fooi, 67, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.  

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu terhadap kanak-kanak yang berusia antara 8 hingga 14 tahun di rumah sewanya di Kondominium Genting Court Setapak Indah Jaya, Wangsa Maju di sini, dari 2013 hingga Mac 2015. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan dia mungkin akan mengganggu semua mangsanya jika dibenarkan jaminan.

Zulqarnain membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula.  

Sementara itu, Noor Din yang juga bekas pekerja sebuah kilang mengaku bersalah bagi pertuduhan memiliki 32 keping cakera VCD lucah, sebuah album yang memuatkan gambar bogel kanak-kanak itu dan tiga telefon bimbit yang turut mempunyai gambar bogel mereka.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk menjatuhkan hukuman.

Warga emas, rangsang kanak-kanak

Artikel Lain