suria

Dua Penjenayah Terlibat 17 Kes Samun, Pecah Rumah Mati Ditembak

KULAIJAYA: Dua penjenayah dipercayai terlibat dengan 17 kes samun dan pecah rumah mati ditembak, manakala dua rakannya berjaya melarikan diri dalam kejadian kira-kira 500 meter dari taman rekreasi Hutan Bandar Putra, di sini, Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 3.40 pagi selepas anggota polis terserempak dengan kesemua lelaki dipercayai warga asing itu yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

"Polis cuba mendekati kereta suspek untuk membuat pemeriksaan, namun, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah polis," katanya di sini, Isnin.

Rusli berkata, tindakan suspek itu menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan tembakan tersebut terkena dua suspek menyebabkan mereka mati di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lagi rakan suspek melarikan diri ke hutan berhampiran dan pemeriksaan menemui satu senapang patah, parang, komputer riba,telefon, kamera serta resit hasil penjualan barang kemas bernilai RM2,000.

Menurut Rusli, polis sedang menyiasat lebih lanjut mengenai suspek yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun, namun, percaya kesemua mereka terlibat dengan 17 kes pecah rumah dan samun di sekitar Kulaijaya dan Pontian.

Kereta yang digunakan suspek pula didapati merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada Disember lepas, katanya.

Katanya cermin hadapan kenderaan polis pecah ditembak suspek, bagaimanapun, tiada anggota polis mengalami kecederaan.

Artikel Lain