suria

Protes Gereja: Penglibatan Ahli Umno Dipandang Serius - Tengku Adnan

Abdullah Abu Bakar

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Umno akan menentukan nasib ahli-ahlinya di Bahagian Petaling Jaya Selatan yang terlibat dalam protes gereja di Taman Medan baru-baru ini.

Setiausaha agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, "lima atau lebih ahli-ahlinya" telah diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu bagi menuntut penjelasan kerana terlibat dalam kejadian itu.

"Kami ingin mendengar daripada mereka apa yang berlaku pada hari itu, bagaimana dan mengapa mereka boleh terlibat. Surat-surat telah dikeluarkan minggu lepas dan mereka mempunyai 14 hari untuk memberi tindak balas, " katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada tindakan disiplin, termasuk pemecatan, kemungkinan akan dijatuhkan ke atas anggota, Tengku Adnan berkata Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas meneliti hujah tersebut.

"Jika ada pelanggaran dalam disiplin, lembaga akan membuat keputusan dan bertindak sewajarnya. 

"Buat masa ini, kami masih menunggu mereka mengemukakan maklum balas kepada surat tunjuk sebab terlebih dahulu, " katanya.

Pada 19 April, kira-kira 50 penduduk Taman Medan mengadakan bantahan terhadap gereja untuk meletakkan lambang salib pada bahagian depan gereja dengan mendakwa perbuatan itu adalah satu cabaran kepada Islam dan boleh mempengaruhi golongan muda Islam.

Gereja tersebut telah mengeluarkan lambang salib itu.

Tengku Adnan berkata Umno memandang serius penglibatan ahlinya dalam kejadian itu kerana parti itu merupakan rakan kongsi dalam komponen politik berbilang kaum dan agama.

"Umno adalah pemimpin sebuah negara berbilang kaum. Orang memandang dan mengharapkan kita untuk menunjukkan peranan utama dalam menghormati kaum dan agama lain, " tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menafikan laporan sebuah portal online bahawa nama pemimpin cawangan Taman Lindungan Jaya Umno telah dibersihkan daripada sebarang salah laku dalam protes Taman Medan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat apa-apa andaian kerana kertas siasatan (IP) masih belum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Kita baru sahaja menghantar IP ke Bahagian Undang-Undang Bukit Aman hari ini (Khamis) dan  sedang menunggu jika terdapat sebarang penambahan. Oleh itu, ia tidak masuk akal nama Datuk Abdullah Abu Bakar telah dibersihkan, " katanya.

Portal tersebut melaporkan bahawa nama Abdullah, yang juga abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah dibersihkan oleh pihak polis atas alasan bahawa belaiu hadir untuk menjadi pengantara antara penunjuk perasaan dan pegawai-pegawai gereja.

Protes gereja, ahli umno

Artikel Berikut

Artikel Lain