suria

Pelarian Rohingya: Malaysia Didakwa Ada Kem 'Hamba'

Antara warga Rohingya diselamatkan pegawai Thailand dari kawasan hutan, ditahan di wilayah Songkhla.

PADANG BESAR: Selepas penemuan 'kem kematian' di selatan Thailand, laporan kini tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat kem haram pelarian asing di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini.

Bekas Presiden Kelab Rohingya di Thailand terlibat membantu pelarian, Abdul Kalam mendakwa Malaysia merupakan rumah kepada kira-kira 80 peratus kem haram di mana golongan muda warga Rohingya dan Bangladesh yang dijadikan 'hamba' dibawa masuk oleh sindiket penyeludupan manusia.

Beliau turut mendakwa rakyat tempatan juga terlibat dalam sindiket pemerdagangan maniusia.

Abdul Kalam, yang bekerja dengan polis Thai sebagai penterjemah apabila pelarian Myanmar diselamatkan berkata kem penyeludupan hamba dekat sempadan Thai menempatkan kira-kira 500 dan 1,000 orang.

"Situasi bertambah buruk dalam tempoh 10 tahun lalu dengan kira-kira 50 kem dekat sempadan tersebut.

"Terdapat lebih banyak kem di Malaysia pada masa ini kerana kerajaan Thai membanteras aktiviti pemerdagangan manusia," dakwa Abdul Kalam.

Beliau berkata pelarian di kem tersebut terpaksa hidup dalam keadaan yang teruk dengan sedikit makanan dan minuman.

Walaupun tidak membuat dakwaan spesifik terhadap Malaysia, Komander Tentera Bahagian ke-4, Lt. Jen. Prakarn Cholayuth berkata kerajaannya berharap negara jiran akan membantu membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa kem seperti itu wujud di sempadan Malaysia.

"Tiada perkara seperti itu. Sepanjang pengetahuan kami, kem tersebut hanya berada di sempadan Thailand.

"Di sempadan Malaysia, polis termasuk Unit Perisikan Sempadan, Pasukan Gerakan Am, pasukan khas dari Bukit Aman dan beberapa agensi penguatkuasan yang lain bekerjasama untuk membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan pendatang asing," katanya.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-0-cha merancang untuk bertemu pemimpin Malaysia dan Myanmar untuk membincangkan masalah tersebut.

"Pemerdagangan manusia harus dibanteras bersama-sama dan perlu difahami bahawa masalah itu bukan berkembang dari Thailand," katanya sambil menambah negara itu hanya transit.


Rohingya, kem pelarian

Artikel Lain