KUALA LUMPUR: Keluarga mangsa nahas kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) mendedahkan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada tragedi yang meragut tiga nyawa itu. Anak saudara mangsa, Izzat Hasif, 30, berkata, dia mengetahui perkara tersebut daripada pengunjung yang menziarahi keluarga mereka dan bertanyakan mengenai beberapa nombor akaun yang tersebar. "Ada yang cuba ambil kesempatan dan paling teruk mereka membuka akaun bank tetapi ia sebenarnya palsu, cuma nama awal akaun tersebut sama iaitu Faiznur tetapi nombor berbeza dan menggunakan alamat sama. "Ada beberapa pengunjung datang untuk mengesahkan nombor akaun tersebut kerana mereka sendiri keliru yang mana satu akaun betul," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui selepas menerima kunjungan ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Independent Regiment yang diketuai Datuk Abdul Karim Mustafa. Akaun Maybank sebenar ialah 5647 9912 5430 dengan nama Faizznur Asyraf Husain. Menganggap ia perbuatan tidak bertanggungjawab, kata Izzat, pihak berkenaan cuba mengambil kesempatan terhadap keprihatinan masyarakat kepada kedua-dua anak yatim, Nur Firuza Amira, 7 dan adiknya yang berusia tiga tahun, Nur Firuza Akila. Selain itu, katanya, terdapat juga pihak yang mencurigakan apabila keluar masuk kediaman mereka dan memperkenalkan diri sebagai wakil media. Katanya, perkara tersebut membimbangkan pihak keluarga yang ketika itu sedang sibuk melayan pengunjung yang menziarahi waris mangsa. "Ada yang menyamar sebagai pihak media dan keluar masuk sesuka hati sehingga kami curiga dengan kehadiran mereka. "Apabila kami tegur untuk meminta maklumat dan pas media, dia gagal untuk menunjukkannya. Kami tidak kisah media datang menjalankan tugas, cuma bimbang jika ada yang menyamar dengan niat lain," ujarnya. Dalam pada itu, Izzat juga mengucapkan terima kasih atas keperihatinan masyarakat yang tidak berhenti memberi sokongan kepada keluarga dan anak-anak mangsa. "Alhamdulillah, tidak henti-henti orang darang melawat dan beri sumbangan kepada keluarga kami. Mereka datang daripada seluruh negara, ada yang daripada Kedah dan Johor datang untuk melihat sendiri keadaan anak-anak arwah," ujarnya. Dalam kemalangan pada Sabtu lalu, Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta seorang anak perempuan mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Annisa Firuza tercampak dari kenderaan mereka selepas dirempuh Myvi yang dikatakan sedang berlumba. Fairuz Nizam terbunuh di tempat kejadian, manakala Nova Safitri dan Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur. Semasa kemalangan, ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Putrajaya.