suria

Konstabel Jadi Bidan Terjun Sambut Kelahiran Bayi

Hasliza membantu proses kelahiran bayi tersebut.

IPOH: Seorang anggota polis wanita pada Rabu menjadi 'bidan terjun' untuk menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di perkarangan Balai Polis Kampung Tawas di sini Rabu.

Konstabel Hasliza Abdul Jalil, 25, membantu kelahiran bayi berkenaan di dalam kereta kira-kira 1.15 tengah hari Rabu.

Difahamkan sebelum itu bapa bayi berkenaan yang berusia 38 tahun membawa isterinya yang hendak bersalin dari rumah mereka di Klebang Putra menuju Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Namun mereka dikatakan tidak sempat untuk sampai ke hospital dan terpaksa singgah di balai polis tersebut untuk meminta bantuan bagi membantu menyambut kelahiran bayi mereka.

Ibu dan bayi perempuan itu kemudiannya dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut dan kedua-dua mereka dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong mengesahkan kejadian itu dan  mengucapkan tahniah kepada anggota polis berkenaan yang bersedia membantu orang awam pada bila-bila masa.

Berita dan gambar insiden itu turut dimuat naik dalam akaun Facebook Polis Perak.

konstabel, bidan terjun, bayi

Artikel Lain