suria

Sindiket Dadah Antarabangsa Tumpas, Nilai Rampasan Terbesar RM51 Juta

Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff

KUALA LUMPUR: Sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas dengan penangkapan 17 anggota, termasuk seorang 'raja dadah' dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM51 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata nilai rampasan tersebut adalah yang terbesar pada tahun ini.

"Serbuan dilakukan di 11 tempat di sekitar Lembah Klang meliputi Kepong, Cheras, Petaling Jaya dan Perai, bermula 12 Mei jam 4 petang hingga 13 Mei jam 10.30 malam.

"Hasil serbuan, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk seorang kingpin atau 'raja dadah' yang saya gelarkannya sebagai 'sampah masyarakat'," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Jumaat.

Mohd Mokhtar berkata, serbuan oleh JSJN dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) itu membawa kepada penemuan dan rampasan 370 kg dadah, dipercayai syabu, pil dan serbuk ekstasi serta ketamin.

Turut dirampas, peralatan memproses dadah selain 18 buah kenderaan pelbagai jenama yang diubah suai, dianggar bernilai RM2.1 juta, wang tunai RM129,000 dan barangan kemas serta jam berjenama dianggar bernilai RM40,000 yang disita.

"Dengan tangkapan 17 anggota termasuk seorang 'sampah masyarakat' ini kita percaya telah menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dan berjaya mengurangkan kemasukan dadah ke negara ini.

"Ini hanya permulaan cerita, saki-baki anggota akan dicekup dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki, termasuk dua warga Bangladesh serta seorang wanita lingkungan umur 24 hingga 57 tahun.

"Empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah. Dadah telah dibawa masuk dari China," katanya.

Mengenai 'sampah masyarakat' yang ditahan, beliau berkata suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.

Mohd Mokhtar berkata selain siasatan dan risikan polis, kerjasama bersama Biro Kawalan Narkotik Kementerian Keselamatan Awam dan Biro Narkotik Polis Hong Kong juga telah membawa kepada kejayaan operasi.

Pada sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa polis telah berjaya merampas dadah sintetik bernilai RM61 juta dari Januari hingga 11 Mei tahun ini.

Ia melibatkan tangkapan seramai 10,267 orang, 40,284 kes kertas siasatan dibuka dan jumlah kertas siasatan dituduh sebanyak 25,031.

Artikel Lain