suria

Empat Dipenjara Miliki Daging Hidupan Liar

KOTA KINABALU: Seorang bapa dan anak lelakinya antara empat yang dipenjara selama 116 bulan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu kerana memiliki daging hidupan liar.

Kesemua lelaki itu ditahan oleh kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah ketika sekatan jalan raya di Lahad Datu pada Februari lalu.

Pengarahnya, William Bayau berkata Ansaat Endok @ Aggindok yang bekerja sendiri dan Habil Ansaat masing-masing dipenjara selama 30 bulan selepas mereka mengaku memiliki 418 kilogram (kg) daging babi hutan pada 7 Februari lalu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu turut mengakui memiliki 10 ekor musang apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lahad Datu, Steve Ritikos.

William berkata renjer hutan menemui anggota badan binatang tersebut apabila mereka memberhentikan pikap pacuan empat roda Ansaat dalam satu sekatan jalan raya di jalan Lahad Datu-Tungku kira-kira pukul 6.15 petang, 7 Februari lalu.

Beberapa jam sebelum itu, renjer hutan turut memberhentikan sebuah lagi pikap pacuan empat roda dalam sekatan jalan raya dan menjumpai 208kg daging babi hutan didalamnya.

William berkata renjer hutan menahan dua lelaki di dalam kenderaan terbabit.

Suspek, Jennus Awang dan Nedly @ Krispine Danial juga mengaku bersalah di hadapan Ritikos pada hari yang sama.

Beliau berkata Jennus dan Nedly masing-masing dipenjarakan selama 28 bulan di atas kesalahan tersebut.

William berkata jabatan tersebut sedang memburu mereka yang menjual daging hidupan liar di laman sosial seperti Facebook.

"Sekiranya ini perniagaan anda, jangan terkejut jika kami datang mengetuk pintu rumah anda suatu hari," katanya.

penjara, daging hidupan liar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain