SEREMBAN: Doktor mungkin perlu membayar lebih untuk memperbaharui Sijil Amalan Tahunan (APC) mereka tidak lama lagi dan perlu menghadiri Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD). Ia akan diwajibkan sebaik sahaja Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menjadi badan profesional kewangan bebas, berikutan pengkorporatannya, yang dijangka pada awal tahun depan. Pada masa ini, doktor hanya membayar RM50 untuk memperbaharui APC mereka, satu jumlah tetap dan tidak berubah selama hampir tiga dekad. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata bayaran itu terpaksa dinaikkan memandangkan majlis memerlukan dana untuk beroperasi secara bebas. "Kami sedang mengkaji yuran sebanyak RM1 sehari atau mungkin RM300 setahun," katanya kepada The Star. Pada masa ini, kira-kira 45,000 doktor yang berdaftar dengan MMC, berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan. Dianggarkan seramai 5,000 doktor baharu menamatkan pengajian setiap tahun. Idea untuk mengkorporatkan MMC diilhamkan pada tahun 2010, selepas Akta Perubatan 1971 telah dipinda. Sebaik sahaja dikorporatkan, ia akan beroperasi sebagai sebuah badan profesional bebas, sama seperti Institut Akauntan Malaysia, Majlis Peguam dan Institut Jurutera Malaysia. Ia juga sama dengan Majlis Perubatan Am Britain, sebuah badan berdaftar berasaskan fi, yang antara lain, bertindak untuk melindungi kepentingan awam dengan memastikan piawaian perubatan dipatuhi. Kata Dr Jeyaindran, terdapat keperluan mendesak untuk doktor di sektor swasta mengikuti CPD seperti yang dilakukan di negara-negara maju. "Dengan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean menjelang akhir tahun ini, doktor, sebagai contoh, akan menghadapi pelbagai cabaran yang akan hadir bersama liberalisasi perdagangan dan perkhidmatan. "Oleh itu, doktor kita perlu terus meningkatkan kemahiran klinikal dan berada di barisan hadapan rakan-rakan mereka di tempat lain," katanya, sambil menambah program-program seperti itu sudah diwajibkan bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan. Dr Jeyaindran berkata, para doktor juga boleh mendapat mata kredit dengan menghadiri program-program ini. "Kami mahu mewajibkan semua doktor menghadiri CPD kerana mereka mempunyai tanggungjawab moral, etika dan profesional kepada pesakit mereka," katanya sambil menambah masih belum ditentukan berapa banyak mata kredit yang diperlukan untuk memperbaharui APC mereka. Ketua Jawatankuasa CPD, Persatuan Perubatan Malaysia Datuk Dr P. Krishnan berkata pengkorporatan MMC adalah satu langkah yang baik dan doktor tidak mempunyai masalah dengan bayaran yang lebih tinggi. "Teknologi berubah setiap hari. Adalah satu kemestian bagi doktor untuk turut bersaing dengan perkembangan terkini dalam bidang masing-masing." Doktor di sektor swasta, kata Dr Krishnan, tidak akan mempunyai masalah menghadiri CPD kerana terdapat 372 pembekal yang berdaftar dengan MMA. Sebagai contoh, beliau berkata doktor yang menghadiri kongres perubatan dengan penceramah antarabangsa akan mendapat 20 mata kredit. "Mereka yang menghadiri bengkel perubatan boleh mendapat sehingga 10 mata," kata beliau sambil menambah kira-kira 9,870 doktor telah berdaftar dengan jawatankuasa CPD. Difahamkan, doktor dalam perkhidmatan awam dikehendaki mendapatkan 40 mata kredit setiap tahun dengan menghadiri program-program CPD.