"Mereka mungkin mempunyai pengetahuan tentang aktiviti pemerdagangan dan boleh menjadi rakan sejenayah tetapi mereka bukanlah orang yang merancangnya," kata Wan Junaidi di Depot Tahanan Imigresen Belantik.
Beliau menyifatkan modus operandi sindiket pemerdagangan manusia itu sama dengan perhambaan Afrika di Amerika pada abad ke-17.
"Seperti manusia dieksport ke Amerika Syarikat ketika itu, apa yang berlaku itu betul-betul sama dengan apa yang berlaku di sini dan ia memerlukan satu penyelesaian antarabangsa," katanya pada sidang akhbar.
Depot Belantik mempunyai kapasiti 1,000 tetapi kini menempatkan 1,107 pelarian Rohingya yang tiba di Langkawi beberapa minggu lalu.
Mengenai isu pelarian Rohingya tanpa negara, Wan Junaidi berkata banyak kedengaran cakap-cakap politik tetapi proses penghantaran pulang pendatang sangat perlahan.
"Bukan mudah untuk melakukannya dan Myanmar tidak akan berkerjasama dengan kami.
"Saya telah bertemu duta mereka dan adalah sukar untuk berbincang dengan mereka. Mereka menghadkan perbincangan mengenai perkara ini," kata Wan Junaidi yang terdahulu pergi ke Wang Kelian, Perlis untuk memeriksa kerja-kerja dan proses pemindahan kubur.