PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKN) menegaskan beberapa perkara penting perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum imigran Rohingya dipindahkan ke kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dipilih. Presidennya Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim berkata walaupun keputusan kerajaan memilih dua kem PLKN sebagai penempatan sementara pelarian Rohingya disambut baik, timbul beberapa kebimbangan di kalangan operator kem yang perlu diberi perhatian. "Secara dasar kita bersedia, tetapi ada beberapa kebimbangan utama kita rasakan perlu dibincang dan diperhalusi sebelum menempatkan pelarian di kem-kem tersebut. "Mesti ada persetujuan syarat-syaratnya. Antara yang kita fikirkan adalah mengenai vandalisme, keselamatan dan kadar sewa," kata Ahmad Kamel kepada mStar Online, Khamis. Ahmad Kamel berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk menjadikan Kem PLKN Rimba Taqwa di Sik dan Kem PLKN Rekreasi Belia di Baling sebagai pusat penempatan sementara bagi pelarian Rohingya. Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, petang Khamis. Menurut beliau, setakat ini pihaknya masih belum dimaklumkan bila pelarian akan dipindahkan ke dua kem tersebut. Katanya, beliau juga tidak pasti faktor-faktor yang dipertimbangkan sebelum keputusan untuk memilih dua kem tersebut dibuat. Mengulas lanjut, beliau berkata perkara ini telah pun dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohmed Asri Yusof sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Hishammuddin. "Kem kita ini dibina khusus untuk pelatih PLKN, jadi kita tak tahu bagaimana standard pelarian. "Susah nak cakap, sebab mereka pun belum masuk lagi. Mungkin memerlukan standard lebih tinggi atau mungkin juga lebih rendah," katanya. Beliau menambah, sebagai pengendali kem, mereka tidak dapat lari daripada memikirkan tentang risiko-risiko yang bakal ditanggung, termasuklah dari segi kadar sewa yang mungkin dibayar lebih rendah berbanding pelatih PLKN.