suria

Lagi Kes Pesara Tertipu Dengan Panggilan Daripada 'Pegawai Polis'

PETALING JAYA: "Jika anda mahu kami melepaskan anak anda, masukkan RM200,000 dalam beg dan letakkannya di Damansara Uptown."

Panggilan daripada 'pegawai polis' itu sudah cukup untuk membuatkan seorang ibu yang terdesak bergegas ke bank.

Wanita berusia 60 tahun itu menyangka wang itu boleh membebaskan anaknya.

Tetapi dia terkejut apabila kemudiannya mengetahui bahawa anaknya tidak pernah ditangkap.

Insiden itu telah menyebabkan polis 'mati akal' selepas beberapa amaran diberikan mengenai sindiket yang menyamar sebagai anggota polis yang menjadikan warga emas sebagai sasaran.

Terdapat 10 kes perangkap seperti itu pada tahun ini.

"Saya mahu memberitahu orang ramai, tidak wujud perkara seperti itu. Tidak mungkin polis akan meminta wang untuk melepaskan seseorang," kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim.

"Dalam fikiran wanita itu adalah polis mahukan wang supaya anaknya dapat dilepaskan.

"Saya rasa bersalah. Apa yang telah kami lakukan yang membuat orang berfikir bahawa mereka perlu merasuah kami? Kami tidak akan melakukannya," katanya.

Beliau berkata pesara itu menerima panggilan di rumahnya pada pagi Isnin daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai seorang pegawai dari daerahnya.

Lelaki itu berkata anaknya telah ditangkap kerana dadah dan ditahan di balai polis. Lelaki itu mahukan wang berjumlah RM200,000.

Pada masa itu, anaknya sedang bekerja di pejabatnya tanpa menyedari apa yang sedang berlaku di rumah.

Azmi berkata polis mengesan nombor telefon dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai kopi di mana wanita itu meletakkan wang.

Katanya, adalah sesuatu yang aneh apabila semua mangsa di daerah itu baru-baru ini adalah dari Sea Park.

Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai kaitan antara satu sama lain atau akaun bank yang sama yang dapat mencadangkan corak sindiket itu.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mudah tertipu dan sentiasa menghubungi pihak polis untuk mengesahkan tuntutan yang dibuat oleh 'pegawai' apabila mereka menerima panggilan mencurigakan.
Azmi Abu Kassim

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan