suria

200 Hadir Beri Penghormatan Kepada Mendiang Valerian

KUNDASANG: Lebih 200 anggota keluarga dan sahabat handai pada Isnin hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Valerian Joannes, 27, malim gunung yang terkorban dalam kejadian gempa bumi Jumaat lepas.

Upacara yang dilakukan di rumah mendiang di Kampung Bundu Tuhan dekat sini itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Tunang mendiang, Jessica Sikta, 25, berkata beliau pada mulanya tidak dapat menerima kenyataan terhadap apa yang berlaku kepada Valerian.

"Ketika menerima berita buruk (kejadian gempa) itu, saya sentiasa berdoa agar bukan dia (mendiang) yang terlibat dalam bencana itu.

"Tetapi sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth untuk proses pengecaman...saya pasrah disertai sedih menerima kenyataan bahawa dia (mendiang) sudah tiada," katanya ketika ditemui semasa upacara itu.

Jessica berkata pada kira-kira 9 malam, Khamis lepas, beliau sempat menghubungi mendiang tunangnya melalui panggilan video dan berbincang mengenai rancangan perkahwinan yang dijangka berlangsung November.

Difahamkan upacara sembayang kepada mendiang Valerian akan dilangsungkan di gereja St Pius sebelum disemadikan di tanah perkuburan Kristian Kampung Bundu Tuhan.

Sementara itu, Azizah berkata anak-anak mangsa warga tempatan yang terkorban di Gunung Kinabalu akan menerima sumbangan kewangan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mendapatkan jumlah kanak-kanak yang terlibat dan sebaik selesai, bantuan itu akan disalurkan dalam kadar segera," katanya.

Setakat Ahad, 16 rakyat tempatan dan warga asing disahkan terkorban dalam gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu manakala dua lagi masih hilang.

Gunung Kinabalu

Artikel Lain