KUNDASANG: 10 pendaki warga asing yang menanggalkan pakaian dan membuang air kecil di atas Gunung Kinabalu sudah diberi amaran oleh malim gunung agar menghentikan perbuatan tersebut. Bagaimanapun, mereka bukan sahaja memanggilnya sebagai 'bodoh', malah menjerit empat huruf sambil membuat isyarat lucah kepada malim gunung yang berusia 35 tahun itu pada 10 Mei lalu. Ketika ditemui The Star, malim gunung tersebut pada awalnya menolak untuk ditemuramah kerana tidak mahu menganggu siasatan pihak polis. Dia yang merupakan bekas askar dari Kelantan kini menetap di Kundasang beberapa tahun lalu selepas berkahwin dengan wanita tempatan. Dia sudah melakukan pekerjaan tersebut selama dua tahun. Walaupun enggan menceritakan apa yang berlaku pada ketika itu, lelaki yang tidak mahu didedahkan identitinya itu bersetuju dengan kepercayaan masyarakat Kadazandusun bahawa semangat gunung itu marah dengan tindakan yang dilakukan pendaki warga asing sehingga menyebabkan berlaku gempa bumi. "Mungkin ada sedikit kebenaran kerana gempa itu berlaku selepas insiden gambar bogel tersebar," katanya. Bekas askar itu berkata, adalah penting bagi pendaki untuk mengikut arahan yang diberikan oleh jurupandu atau malim gunung kerana mereka sudah dilatih kepada perkara apa dan tidak boleh dilakukan ketika mendaki gunung. "Kami berbincang tentang peraturan yang perlu diikuti sebelum dan selepas mendaki. Jika pendaki tidak pasti tentang apa yang harus dilakukan, mereka perlu mendengar arahan malim gunung yang membawa mereka. "Jika kami minta untuk menghormati gunung, sila berbuat demikian," ujarnya. Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais terdahulu telah meminta malim gunung yang terbabit dengan kejadian itu membuat laporan polis. Tambahnya, Taman-Taman Sabah turut membuat laporan polis dan menyerahkan senarai nama 27 pendaki tersebut untuk siasatan lanjut.