KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Ramadhan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia ialah Selasa 16 Jun ini bersamaan 29 Syaaban 1436 Hijrah. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan berkata tempat melihat anak bulan pada malam hari tersebut adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu,Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor (Selangor); Bukit Jugra, Banting (Selangor); Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, Mukim PengkalanBaru, Manjong (Perak). Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak,Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah); Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Geliga, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian, Besut (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu (Terengganu); Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah OlakJeram, Kuala Krai (Kelantan). Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu (Kelantan);Tanjong Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak); Tanjung Batu,Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang). Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (Putrajaya); dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). Menurut kenyataan itu Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab. "Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan menerusi Radio dan Televisyen,"kata kenyataan itu.