KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO Datuk Shahrol Halmi pada awal Ogos bagi memberi keterangan berhubung isu 1MDB.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil wakil Bank Negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
"Tujuan prosiding ini sebenarnya untuk memanggil watak-watak utama, MOF (Kementerian Kewangan), pemegang saham, pengurusan, auditor, dan kemudiannya anggota lembaga (pengarah). Selepas itu kami akan dapat gambaran lebih menyeluruh dan memutuskan siapa lagi yang akan dipanggil untuk melengkapkan laporan," katanya.
Nur Jazlan menjelaskan sebarang isu berbangkit dalam setiap prosiding akan dikaji dan dibuat perbandingan berdasarkan pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding 1MDB itu.
Mengulas lanjut mengenai prosiding bersama firma yang mengaudit 1MDB iaitu Firma Deloitte and Co, beliau berkata tiada tanda-tanda penyelewengan dalam audit yang dijalankan firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu terhadap penyata kewangan 1MDB bagi tarikh berakhir 31 Mac 2014.
"Dalam prosiding ini, kita juga perlu mendapatkan penerangan sama ada syarikat 1MDB ini bergantung sepenuhnya kepada jaminan kerajaan untuk beroperasi serta masih berupaya sebagai 'going concern' untuk terus beroperasi sebagai 'sovereign fund' atau tidak, selepas ia tidak dinyatakan dalam laporan juruaudit," katanya.