KUALA LUMPUR: 'Impian' rakyat Malaysia musnah selepas Pakatan Rakyat gagal menjadi sebuah gabungan yang baik seperti yang dijangka banyak pihak, demikian menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong. "Impian untuk ramai rakyat Malaysia sebelum PRU-13 iaitu kemungkinan Pakatan menjadi gabungan yang lebih baik terbukti salah. "Mereka menyembunyikan masalah sebelum pilihan raya...tapi sekarang mereka perlu berhadapan dengan realiti," katanya mengulas mengenai keretakan yang berlaku antara PAS dan DAP dalam pakatan pembangkang. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan jika krisis Pakatan Rakyat akan memberi manfaat kepada MCA dan Barisan Nasional (BN). "Masih terlalu awal kerana Pilihan Raya Umum ke-14 dua tahun lagi. "Macam-macam perkara boleh berlaki walaupun pada malam sebelum hari pengundian. Oleh itu, kita perlu tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.