PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan seramai 13 individu terlibat dalam rampasan kapal tangki, MT Orkim Harmony dengan lima lagi masih bebas. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata selain lapan yang ditahan di perairan Vietnam pada Jumaat, terdapat lima lagi individu yang mengendalikan sebuah kapal tunda untuk mendekati MT Orkim Harmony. Lima individu itu pergi secara berasingan dengan menggunakan kapal tunda yang kemudiannya ditemui oleh tentera laut Indonesia di Batam. "Lima lagi masih bebas. Pada masa sama, kami menggunakan apa jua cara untuk memastikan lapan suspek diekstradisi ke Malaysia supaya kita boleh menyoal siasat mereka dengan lebih lanjut," kata Ahmad Puzi pada sidang media di sini. Beliau berkata siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Vietnam mendedahkan suspek bukan amatur tetapi 'penjenayah berpengalaman'. "Melihat bagaimana mereka melakukan rompakan, mematikan sistem pengenalan automatik (AIS) supaya mereka tidak boleh dikesan dan bagaimana mereka ditemui bersama sejumlah besar wang tunai, ia menunjukkan mereka tahu apa yang mereka lakukan," katanya. Menurut beliau, Malaysia telah melakukan apa sahaja bagi memastikan suspek diekstradisi secepat mungkin. Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan. Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. Kapal tangki itu adalah milik Petronas. Lapan suspek ditahan di perairan Vietnam dekat Pulau Tho Chu minggu lalu dan mengaku merampas kapal tersebut.