PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PAS yang dikaitkan dengan kumpulan progresif memberi kata kedua kepada partinya supaya kembali menjadi lebih inklusif dalam masa 100 hari atau berhadapan dengan penubuhan sebuah parti Islam baharu. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, sehingga kini rakyat masih belum melihat hala tuju baharu parti itu terutamanya selepas pemilihan PAS baru-baru ini. "Saya bimbang rakyat tidak akan menunggu sehingga 100 hari. Saya rasa ramai orang mula meninggalkan PAS atau kurang keyakinan terhadap PAS," katanya kepada The Star Online ketika dihubungi pada Selasa. Tambah Khalid, kata dua itu juga selari dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang meminta agar kepimpinan baru parti itu diberi tempoh selama 100 hari untuk membuktikan kemampuan mereka. Khalid berkata, ketika PAS berada di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor mereka menerima pakai pendekatan inklusif. "Ada perpaduan dalam keahlian. Mereka sangat ikhlas dengan NGO dan parti-parti komponen kedua-dua Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat," katanya. Khalid bagaimanapun menafikan bahawa penubuhan sebuah parti baharu yang sedang diperkatakan mempunyai apa-apa kaitan dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).