suria

Lima Senator Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Datuk Dr Ariffin SM Omar yang dilantik semula sebagai senator, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara bersama empat lagi senator baharu di sini, Isnin.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Senator baharu ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Siti Aisyah Shaik Ismail; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin; Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Norehan Abu Bakar.

Abu Zahar mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik dan berharap mereka dapat menunjukkan perangai, perwatakan, keperibadian tinggi dan bersopan-santun semasa bersidang.

"Saya juga ingin mengingatkan agar semua yang dilantik memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara kerana sekarang ini amat risau kerana ada segelintir Yang Berhormat tidak hormat kemuliaan dewan ini.

"Jangan melanggar peraturan mesyuarat semasa dalam proses perbahasan kerana ia jelas mengingkari lafaz ikrar taat setia (sebagai anggota Dewan Negara)," katanya.

Dewan Negara

Artikel Sebelum

Artikel Lain