PETALING JAYA: Pemergian suami yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada 17 Julai tahun lalu mendorong Mariyam Yusoff memerah keringat mencari rezeki demi menyara kehidupan bersama anak-anak. Apatah lagi Aidilfitri bakal menjelang kurang sebulan sahaja lagi menyebabkan isteri kepada Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin ini giat mengusahakan perniagaan biskut raya, di samping berniaga di bazar Ramadan. Mariyam berkata, hasrat menjual biskut raya itu adalah kesinambungan perniagaan yang diusahakannya sebelum ini sepanjang Ramadan pada 2013. Bagaimanapun ibu kepada Wan Yunus Uzair, 12, dan Wan Yusuf Irfan, 10, ini memutuskan untuk berehat daripada berniaga pada Ramadan tahun lalu selepas dinasihatkan suami. “Tahun lalu sebelum kejadian (nahas MH17), arwah berpesan supaya tidak berniaga kerana kata arwah masanya tidak menentu di rumah jadi lebih baik masa yang ada diluangkan bersamanya dan anak-anak. “Sebagai isteri, saya akur. Ia adalah antara pesanan terakhir arwah. Tetapi sekarang saya kembali berniaga untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan bersama anak-anak,” katanya kepada mStar Online. Tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine 17 Julai tahun lalu sehingga mengorbankan 295 penumpang dan anak kapal berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa. Mengenai bisnesnya pada Ramadan, jelas Mariyam, ia diusahakan bersama rakannya, Hana Shakirah Mohd Yusuff yang juga jirannya di kediaman mereka di Alam Impian, Shah Alam. Mariyam menunjukkan sebahagian tart nenas bagi memenuhi tempahan sempena Aidilfitri. “Seperti sebelum ini, saya mengusahakan perniagaan biskut raya secara kecil-kecilan. Saya buat tart nenas dan setakat ini sudah terima tempahan kira-kira 100 balang. "Tart nenas yang saya jual ada dua jenis, satu yang biasa berharga RM30 sebalang dan premium RM45 sebalang. Satu balang ada kira-kira 45 sehingga 50 biji,” katanya. Selain itu, kata Mariyam, dia juga berniaga di bazar Ramadan Alam Impian bersama beberapa peniaga lain di kawasan Masjid Alam Impian. Menurutnya, tarikan utama di gerainya ialah ikan percik, kerabu daging dan kerabu perut yang dibuat sendiri. Ikan percik merupakan antara yang paling laris dijual di gerai Mariyam di bazar Ramadan Alam Impian, Shah Alam. "Kebiasaannya di mana-mana bazar Ramadan, peniaga lebih gemar menjual ayam percik jadi saya buat kelainan dengan menjual ikan percik menggunakan ikan selar dan ikan kerisi. "Selain itu, ada juga dijual sambal kentang dan sambal bawang pedas yang saya buat sendiri," katanya. Sambal bawang pedas antara yang dibuat sendiri oleh Mariyam untuk dijual di bazar Ramadan. Selain itu, Mariyam berkata, dia turut membantu menjual juadah berbuka puasa dan produk makanan lain seperti laksa Penang, coklat brownies dan biskut bangkit cheese. Ini katanya, termasuk beberapa produk rempah nasi arab seperti nasi kabsah ayam, nasi maqluba ayam, nasi mandy ayam saudi dan nasi mandy kambing Yaman. "Alhamdulillah dengan peluang yang diberikan kepada saya untuk berniaga. Sejak hari pertama puasa, ikan percik dan kerabu yang paling banyak mendapat sambutan, sampai 'licin'. "Dengan banyak tempahan untuk tart nenas, di samping berniaga di bazar, saya memang sibuk sepanjang Ramadan ini. Syukur kerana ramai yang turut membantu. Rezeki untuk anak-anak," katanya sambil menambah perniagaan turut dibantu rakan niaga, rakan-rakan dan anak-anak.