KUCHING: Bagi mereka yang inginkan kelainan corak songkok yang akan dipakai sebagai pelengkap baju Melayu pada sambutan Aidilfitri nanti, songkok berjenama AKIM mungkin ada jawapannya.
Songkok yang dihasilkan mempunyai beberapa variasi dengan saiz 4 1/2 inci, 5 inci dan 6 inci serta dijual dengan harga RM80 hingga RM120 sebuah.
Songkok corak kek lapis dihasilkan daripada kain baldu manakala tiga lagi corak iaitu kain pelikat, mata ayam dan celoreng askar dihasilkan menggunakan kain kapas.
Abang Abdul Razak berkata lebih menarik, songkok dengan corak terbaharu itu tidak dibuat secara pukal sebaliknya perlu ditempah terlebih dahulu dan ini menjadikan songkok tersebut, lebih eksklusif.
"Tempahan yang diterima sudah melebihi 20 biji. Kami jangka tempahan akan terus meningkat seminggu sebelum raya," katanya.
Bercerita mengenai kualiti produknya, Kalsum Bee berkata songkok yang cantik bergantung kepada cara jahitan, konsep potongan kain dan bahan yang digunakan.
"Sebenarnya, membuat songkok memerlukan ketelitian...setiap kali saya menerima tempahan ini bermakna hasil kerja tangan saya mendapat kepercayaan daripada pelanggan.
"Selain menyiapkan kerja dalam tempoh yang diberikan, saya juga perlu memastikan setiap songkok yang dihasilkan menggunakan bahan berkualiti tinggi," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.