suria

Bomba Kuala Lumpur Tingkat Rondaan Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur akan menggandakan rondaan di lokasi berpotensi berlaku kebakaran akibat pertambahan aktiviti masyarakat menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.

Pengarahnya Khiruddin Drahman berkata antara kawasan terlibat adalah Setapak, Jinjang, Wangsa Maju dan Sentul.

"Kita akan fokuskan pada kawasan perumahan, premis dan bangunan kosong yang ditinggalkan penghuni yang kebanyakannya pulang ke kampung halaman. Rondaan akan bermula tujuh hari sebelum raya dan tujuh hari selepas raya bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini, Isnin.

Khiruddin berkata, pihaknya juga akan mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebakaran, mulai 11 Julai.

"Mereka (masyarakat) harus peka dengan persekitaran rumah mereka iaitu memastikan setiap peralatan elektrik dan memasak ditutup sebelum pulang beraya di kampung halaman.

"Sebagai contoh apabila tiba musim perayaan kami menerima banyak panggilan mengenai kes kecuaian masyarakat di mana mereka tertidur ketika menyediakan juadah raya akibat keletihan," katanya.

Beliau berkata juadah yang dimasak itu terbakar menyebabkan isi rumah yang berada berhampiran turut terjejas dan menyebabkan api marak.

Khiruddin berkata kebanyakan kes kebakaran melibatkan sikap masyarakat yang leka ketika memasak serta melakukan tindak-tanduk yang tidak selamat.

"Sebagai contoh lampu kelip-kelip yang dipasang pada langsir adalah tidak digalakkan dipasang untuk jangka masa lama kerana ia panas lalu boleh menyebabkan litar pintas," katanya.

Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam mengawal anak-anak mereka supaya tidak bermain bunga api mahupun mercun di dalam rumah dan berdekatan dengan alat memasak seperti tong gas.

"Jika tidak dikawal ia boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada anak mereka malah rumah juga turut terdedah kepada kebakaran. Saya berterima kasih kepada polis kerana memberi kerjasama kepada bomba dalam membantu penurunan kes kebakaran yang berpunca daripada bunga api atau mercun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata lebih 800 anggota bomba dari balai bomba seluruh Kuala Lumpur akan bertugas semasa musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

"Anggota terlibat bakal bertugas mengikut syif yang ditetapkan sebagai contoh, ada yang dikehendaki untuk masuk bertugas pada 8 pagi hingga 8 malam di mana dalam tempoh ini mereka tidak dibenarkan meninggalkan kawasan bertugas.

"Bagaimanapun kelonggaran akan diberi kepada mereka yang mahu menunaikan solat sunat Aidilfitri ketika waktu bertugas," katanya.

Khiruddin yakin jabatannya tidak menghadapi masalah kekurangan anggota ketika musim Aidilfitri kerana kekuatan anggota bomba sentiasa mencukupi.-- Bernama


bomba, Aidilfitri

Artikel Lain