suria

Lelaki Terdesak Curi Minyak Angin, Bedak Dipenjara 30 Hari

KUALA LUMPUR: Gara-gara terdesak untuk mendapatkan wang, seorang penganggur yang bertindak mencuri minyak angin dan bedak di sebuah farmasi pada Mei lalu dipenjara 30 hari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nur 'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu selepas Abang Mahani Abd Ghani, 34, mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mei atau dipenjara 20 hari sekiranya gagal membayar denda.

Abang Mahani didakwa mencuri tiga kotak minyak angin dan tujuh kotak kecil bedak muka yang kesemuanya bernilai RM139.50 di Farmasi Guardian di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini pada 5.45 petang, 29 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pengawal keselamatan farmasi melihat tertuduh mengambil minyak angin dan bedak berkenaan lalu memasukkan ke dalam beg silangnya tanpa membuat pembayaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak yang bersekolah, namun Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon hukuman setimpal mengambil kira kekerapan kes curi dalam bangunan di negara ini.

Penjara, Mahkamah

Artikel Berikut

Artikel Lain