suria

Akaun Najib Tidak Dibekukan Kerana Sudah Ditutup

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa dikaitkan dengan pemindahan dana 1MDB, tidak dibekukan kerana ia sudah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac lalu.

Namun, pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan pemindahan dana itu berkata berkata semua dokumen relevan berkaitan akaun AmBank Islamic telah diterima.

"Peguam Negara menegaskan bahawa semua dokumen siasatan diterima oleh beliau disediakan pasukan petugas khas itu. Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara menggunakan dokumen yang disiarkan dalam Wall Street Journal (WSJ) atau dari sumber lain," kata pasukan tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, sebuah pasukan petugas khas menyerbu pejabat 1MDB di Menara IMC, Kuala Lumpur.

Proses serbuan selesai kira-kira 6.45 petang.

Menurut kenyataan tersebut, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dimaklumkan bahawa pasukan itu mendapat dokumen yang diperlukan untuk siasatan termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, buku minit mesyuarat, penyata bank dan butiran bank lain, penyata penyesuaian, lejar, perjanjian perniagaan dan pelaburan urus niaga dan fail aktiviti tanggungjawab sosial korporat 1MDB.

Pasukan itu turut merampas beberapa komputer riba.

Pasukan petugas yang dianggotai Gani, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah menyiasat dakwaan pemindahan dana 1MDB.

Pasukan tersebut turut membekukan enam akaun bank dan sedang menyiasat 17 yang lain terlibat dalam pemindahan dana 1MDB.

Pasukan petugas itu juga merampas dokumen semasa serbuan ke atas syarikat berkaitan 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd yang didakwa digunakan untuk menyalurkan dana ke dalam akaun peribadi Najib.

Pada Jumaat lalu, WSJ menyiarkan artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.


WSJ, Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain