suria

Cari Duit Raya, Pemandu Van Rokok Pura-Pura Disamun

Gambar hiasan.

SEPANG: Buntu memikirkan persediaan menyambut Aidilfitri, seorang lelaki berpakat dengan dua rakannya membuat laporan palsu mendakwa van berisi 400 karton rokok bernilai RM40,000 yang dipandunya, disamun.

Namun lakonan lelaki berumur lingkungan 20-an itu dapat dikesan polis, malah lebih teruk trio itu kini ditahan dan berkemungkinan berdepan hukuman penjara.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam sidang media di sini Khamis berkata kejadian berlaku di Taman Perindustrian Meranti Jaya, di sini, pada 1 Julai lepas.

Beliau berkata semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, suspek mendakwa didatangi seorang lelaki yang mengacukan parang sebelum mengarahkannya memandu van berkenaan ke sebuah kawasan perumahan di Puchong Utama.

Suspek berkata dia kemudiannya diarah memberhentikan kenderaan dan menyerahkan dompet berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik (ATM) selain telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,200 dirampas.

Abdul Aziz berkata setelah menyoal pengadu, pihaknya mendapati keterangan dan laporan yang diberikan agak meragukan menyebabkan suspek terpaksa ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengaku merancang kejadian itu bersama dua lagi rakannya seminggu sebelum kejadian.

"Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan beberapa serbuan dan berjaya menahan dua lagi suspek serta menemui kembali van serta sejumlah rokok yang kononnya disamun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 182 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan memberi maklumat palsu.

pemandu van, rokok, tipu, samun

Artikel Lain