ASSALAMUALAIKUM. Esok, insyaAllah umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri. Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin atas segala kesilapan dan kekurangan saya sepanjang menjadi kolumnis ruangan ini sejak hujung tahun lalu. Menerusi catatan saya minggu lalu, saya bercerita mengenai program kembara umrah yang menjadi titik sejarah kepada majalah Jelita dan kali ini ingin saya menulis pula kisah yang berlaku di Tanah Suci Madinah sepanjang pemergian kami. Cabaran tidak dapat dipisahkan. Ujian adalah sebahagian daripada asam garam kepada tetamu Allah. Kuat, sabar dan tabah menempuhi pelbagai dugaan paling penting apabila kaki menginjak bumi yang menempatkan jasad baginda Rasulullah SAW dan Baitullah. Rombongan kami tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah sebelum mentari terbenam. Ratusan jemaah umrah dan penumpang pesawat Saudi Airlines di imigresen. Ramai, detik hati saya tetapi itu perkara biasa kerana musim cuti sekolah di Malaysia dan negara-negara Arab yang sudahpun memasuki musim panas. Adik lelaki saya, Shahril, mendekati saya dan bersuara: “Kenapa lambat sangat. Tak cuba tengok ke apa yang dorang (kakitangan imigresen) tengah buat? Pergilah tanya…” “Tak payah tanya. Lagi lambat jadi nanti. Dorang tu bukan boleh kita paksa-paksa. Sabar je. Biasa kalau macam ini,” balas saya kepada adik yang baru kali pertama bergelar tetamu Allah. Hampir empat jam, selesailah segala urusan imigresen. Selepas itu, jemaah dinasihatkan mengambil bagasi yang telah tersedia di ruang menempatkan bagasi oleh ketua rombongan, Tengku Abdul Rahman Tengku Abdullah. “Ana, beg ibu tak jumpalah. Dah puas cari ni,” ujar ibu saya dengan nada cemas. “Kita cari lagi sekali…” balas saya spontan. Kami dua beranak sekali lagi mencari bagasi berkenaan. Memang tiada pada penglihatan saya dan ibu saya. “Ibu keluar dululah. Nanti Ana cari lagi,” pujuk saya apabila melihatkan ibu semakin gusar. Sekali lagi saya tidak nampak beg ibu. Saya mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada ketua rombongan dan keluar dari kawasan bagasi. Ketika di kawasan luar , saya bertemu adik lelaki, Imran dan keluarga yang sedia menunggu kami kerana beliau juga akan menyertai kembara umrah bersama Jelita tetapi berangkat dari Paris kerana ketika itu, beliau bekerja di Paris. “Im, beg ibu tak tau di mana. Tak jumpa. Dah puas cari…” ngadu ibu kepada Imran. “Tak pe, nanti Im carikan…” pujuk Imran. Tidak sampai lima minit, Imran keluar semula dengan beg besar ibu dan mengatakan beg itu terletak di tempat yang agak tersembunyi. Terpancar kelegaan dan keriangan pada wajah ibu saya. “Alhamdulillah, jumpa pun beg ibu…” kata ibu sambil menarik begnya. Kami berjalan terus keluar dari terminal lapangan terbang dan menuju ke bas yang disediakan untuk meneruskan perjalanan ke Madinah yang akan mengambil masa kira-kira enam jam. Biarpun semua wajah kelihatan letih tetapi mereka gembira kerana sebahagian besar baru kali pertama mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Selain pembaca Jelita dan Anjung Seri yang diterbitkan oleh Berita Publishing menyertai rombongan itu, wartawan Berita Harian Sdn Bhd, Mona Ahmad sekeluarga turut bersama-sama kami dalam kembara di antara 24 Mei hingga 6 Jun 2008. Ibu bapa saya, dua adik lelaki iaitu Shahril dan Imran bersama-sama isteri dan tiga anaknya serta anak perempuan saya Humaira Qistina turut menyertai kembara umrah bersama Jelita. Besan ibu saya, Zaharah, juga ada bersama-sama kami. Seronok apabila kita berpeluang ke Tanah Suci dengan waris terdekat. Sejurus tiba di Madinah, kami ditempatkan di Hotel Al-Andalus yang terletak berhadapan dengan tanah perkuburan Baqi. Jarak tidak menjadi masalah kerana hampir dengan pintu masuk ke masjid Nabawi. Jemaah kelihatan tenang dan gembira sejurus tiba dan setelah semua kunci bilik diserahkan, jemaah berehat seketika sebelum bersolat di Masjid Nabawi dan menziarahi Raudah. Esoknya, kami berkumpul di lobi pula untuk ziarah ke tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Bukit Uhud dan makam syuhada’ serta akhir sekali ke ladang tamar untuk berbelanja. Pada malam itu, setelah solat Isyak, seperti mana biasa, jemaah akan terus ke dewan makan untuk menikmati hidangan malam namun semua hampa dan kehairanan kerana tidak sebagaimana lazim kerana tiada makanan di meja hidangan. Ketua rombongan yang lebih dikenali sebagai Pak Engku memohon maaf kepada semua jemaah kerana kesilapan komunikasi menyebabkan hidangan malam itu tiada kerana pihak yang terbabit menyangka kami semua sudah berangkat ke kota Makkah walhal jadual berangkat adalah pada esok tengah hari selepas solat Zuhur. “Macam mana ni Pak Engku. Takkan tak ada makan malam? Kesian jemaah sebab ramai yang kali pertama datang. Jadi, tak reti nak cari makan di kawasan sekitar ni,” tanya saya dengan nada kesal. “Maaflah. Orang katering memang salah faham. Mereka ingat kita dah gerak ke Makkah sebab itu tak sediakan makan minum kita malam ni. Saya dah maklumkan pada mereka tadi,” balas Pak Engku. Namun, beliau pantas mencari penyelesaian iaitu dengan membeli berbungkus-bungkus nasi mandy ayam dan kambing untuk mengatasi masalah pada malam itu. Biarpun makanan tiba lewat iaitu kira-kira jam 11 malam, namun masih ada jemaah yang datang makan ke dewan makan selepas dimaklumkan perkara itu. “Sekali lagi saya minta maaf ye sehingga menyebabkan ramai jemaah terpaksa bangun makan sahur malam ini,” katanya berseloroh. Pak Engku mengatakan sahur kerana ketika itu waktu di Madinah adalah 11 malam dan di Malaysia ialah 4 pagi. Mendengarkan seloroh Pak Engku, jemaah tertawa dan terus memuji keenakan makanan yang terhidang. “Raihanah dah tak masam muka lagi…? tanya Pak Engku apabila melihat saya di dewan makan. Sesungguhnya pertanyaan itu tidak dapat saya lupakan sehingga sekarang dan mungkin sampai bila-bila. Saya tersenyum mendengar pertanyaan itu dan berkata: “Bukan apa Pak Engku, risau saya jemaah tak makan sebab ramai yang baru kali pertama datang. Jika dah pernah datang tak mengapa, pandailah mereka cari makan di mana-mana untuk alas perut,” balas saya. Pak Engku pula meluahkan apa yang dirasa ketika menyedari tiada hidangan di meja bufet hotel berkenaan pada malam itu. “Saya terkejut tengok tak ada makanan. Saya terus panggil orang katering yang menguruskan makanan untuk jemaah lain dan bertanya kenapa tiada makanan untuk jemaah saya tapi dia pula cakap ingat kita ni semua dah ke Makkah. Terasa hendak terbalikkan meja saja pada masa itu tapi saya cuba kawal amarah,” cerita Pak Engku. “Sabar Pak Engku. Sabar…” balas saya tersenyum. “Terkejutlah tengok tiada makanan sedangkan semua mesti harapkan makanan dah ada,” kata Pak Engku lagi. “Tapi baguslah Pak Engku sediakan nasi mandy untuk jemaah. Nampak mereka berselera betul walaupun makan dah jam 11 malam,” ujar saya tergelak. Hampir jam 12 jam, dewan makan lengang semula. Semua jemaah kembali ke kamar penginapan masing-masing. Esoknya, kami bersiap-siap pula untuk ke Makkah dan menyempurnakan umrah. Usai solat Zuhur, semua berkumpul di lobi hotel menunggu bas yang bakal tiba. Hampir jam 3 petang, kami berangkat ke Bir Ali untuk melafazkan niat ihram. Di dalam bas, keadaan agak kurang selesa kerana di pertengahan jalan, alat penghawa dingin kurang berfungsi dengan baik. Ditambah dengan cuaca panas terik di luar, jemaah di bahagian belakang bas agak berpeluh. Anak saudara saya, Nadia yang ketika itu berusia hampir 3 tahun, kelihatan tidak selesa. Tidak lagi kedengaran suaranya bercakap-cakap dan menyanyi. Dua lagi anak Imran dan Maisarah yang menjadi tetamu cilik ke Tanah Suci ialah Lutfil Hadi, 7, dan Amirah, 6. Pemandu membesarkan alat penghawa dingin tetapi keadaan tidak berubah. Jemaah lelaki paling tidak selesa kerana tuala tebal menutupi tubuh mereka ketika berihram. Bas terus meluncur pantas dan kami berhenti kira-kira satu jam di kawasan rehat dan rawat di antara Madinah dan Makkah untuk bersolat dan membasahkan tekak. Perjalanan diteruskan lagi dan Alhamdulillah kami tiba di depan hotel Zahret Shams, yang terletak di Ibrahim Khalil Street pada hampir jam 10 malam. Semua keletihan setelah mengharungi perjalanan berjam-jam tetapi perlu menyempurnakan umrah pada malam itu juga agar tidak terus terikat dengan 13 pantang larang ihram. Di lobi hotel Imran berbisik kepada saya: “Rambut Nadia basah dan boleh diperah”. “Kesiannya dia,” ujar saya pula. “Tak apalah. Dia tak meragam. Alhamdulillah,” balas Imran pula sambil tersenyum. Selepas semua memperoleh kunci bilik. Kami menikmati makan malam dan naik semula ke dalam bilik untuk membersihkan diri dan seterusnya berkumpul semula di lobi hotel pada jam 12 malam untuk bersama-sama menyempurnakan tawaf, saie dan tahalul. Untuk mengetahui apa yang berlaku dalam program umrah bersama Jelita, ikuti catatan saya minggu hadapan.