PETALING JAYA: Surat akuan berkanun (SD) kononnya seorang eksekutif AmBank telah dipecat kerana mempersoalkan pemindahan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah palsu. Kumpulan yang bertanggungjawab melepaskan perisytiharan itu, Citizens for Accountable Governance Malaysia (CAGM), pada Rabu mendakwa di blognya bahawa kewujudannya SD itu adalah satu eksperimen sosial semata-mata. CAGM mengeluarkan kenyataan akhbar yang pertama kira-kira dua bulan lalu dan sejak itu membuatkan beberapa pertubuhan media 'tertipu' kerana menerbitkan kenyataan-kenyataannya yang kononnya dikeluarkan oleh pengerusi kumpulan itu, seorang peguam yang bernama Md Zainal Abidin. SD yang telah dimuat naik oleh kumpulan itu di blognya pada Rabu, secara terperinci menjelaskan bagaimana seorang bekas pegawai AmBank kononnya telah dipecat pada 2013 kerana ingin melaporkan 'transaksi berprofil tinggi' ke dalam 'akaun bank VVIP'. Portal media dalam talian dengan pantas menerbitkan berita yang memetik Md Zainal yang menandatangani kenyataan media itu. Ia akhirnya mendorong CAGM tampil menyatakan motifnya, dengan mengeluarkan kemas kini di blog pada petang Rabu untuk menjelaskan bagaimana ia telah 'menipu' editor yang gagal 'memeriksa fakta mereka' dan 'mengejar laporan berita sensasi'. "Tidak ada peguam yang bernama Md Zainal Abidin. "Tidak ada 2,000 lebih ahli dalam CAGM dan kami tidak mempunyai wang berjuta-juta dalam akaun kami untuk diberikan kepada pemberi maklumat. "Dan tidak, kita tidak mempunyai SD yang membabitkan PM dalam mana-mana salah laku kewangan. CAGM hanya satu eksperimen di media sosial di Malaysia," kata kumpulan itu dalam posting blog. CAGM mencadangkan bahawa ia telah melakukan pekerjaan yang baik ketika editor mahukan cerita yang boleh dijual, malah menambah reputasi organisasi media asing juga hampir menjadi mangsa kepada 'helah' itu. Kumpulan itu mengeluarkan siaran akhbar yang pertama pada 28 Mei, menawarkan hadiah RM1 juta kepada sesiapa yang boleh mendedahkan maklumat mengenai 'kekayaan tersembunyi dan aset' bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. SD palsu itu dikeluarkan selepas laporan Wall Street Journal baru-baru ini mendakwa wang berjuta-juta ringgit telah disalurkan daripada 1Malaysia Development Berhad ke dalam akaun bank peribadi Najib sebelum pilihan raya umum ke-13. Satu pasukan petugas khas telah pun ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.