KUALA LUMPUR: Kempen kesedaran tentang bahaya panggilan palsu di peringkat sekolah dan tadika membuahkan hasil apabila kadar panggilan palsu di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh kira-kira lima tahun lepas. Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kadar panggilan palsu yang diterima oleh bomba turun mendadak daripada 85 panggilan pada tahun 2011 kepada 12 panggilan tahun ini sehingga Mei 2015. Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata hasil kempen dilaksanakan pihaknya di sekolah dan tadika sekitar Kuala Lumpur cukup positif sehingga berjaya membangkitkan kesedaran tentang kesan buruk panggilan palsu kepada murid terbabit. Beliau berkata lazimnya pihak bomba menerima banyak panggilan palsu daripada kanak-kanak ketika musim cuti sekolah pada bulan November dan Disember. "Saya sendiri memang pantau trend panggilan palsu ini dari semasa ke semasa. "Kebiasaannya, kebanyakan kanak-kanak tinggal di rumah ketika musim cuti sekolah ... jadi mereka tidak tahu apa nak buat, maka (ada antara) mereka akan membuat panggilan palsu kepada bomba," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Jalan Maharajalela, di sini. Khiruddin berkata setiap panggilan yang diterima bomba dianggap benar dan wajib untuk pihak bomba memberi respons terhadap panggilan tesebut. "Bagaimanapun, sejak adanya sistem Malaysia Emergency Response Services (MERS), ia secara tidak langsung banyak membantu bomba untuk mengesan lokasi panggilan dibuat pengadu dan penyedia komunikasi pemanggil. "Contohnya, pada ketika kita terima panggilan, sebuah skrin besar di pusat operasi talian akan menunjukkan lokasi pemanggil membuat panggilan ... dari situ kita dapat kesan sama ada ia panggilan palsu atau pun tidak," katanya. Selain itu, beliau berkata setiap anggota yang bertugas mengawal pusat operasi talian diberi latihan khusus untuk mengesan panggilan palsu melalui sistem MERS. Khiruddin turut mengingatkan masyarakat bahawa membuat panggilan palsu adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.-- Bernama