KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mengulas berhubung video Tan Sri Muhyiddin Yassin menceritakan perbualannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menjadi viral. Ketua Polis Negara berkata, beliau tidak akan komen mengenai isu yang mempunyai kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas berhubung 1MDB. "Saya tidak akan komen. Apa sahaja yang berkaitan 1MDB akan dikendalikan mereka (Pasukan Petugas Khas)," katanya kepada pemberita pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia, Khamis. Menerusi video itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilihat sedang duduk berbual bersama beberapa tetamu di kediamannya. Rakaman berdurasi 53 saat itu menunjukkan Muhyiddin mengimbas perbualannya dengan Perdana Menteri berhubung dakwaan laporan The Wall Street Journal.