PETALING JAYA: Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan secepat mungkin sama ada serpihan yang ditemui di Pulau Reunion milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, serpihan itu dibawa ke Toulouse untuk diteliti pasukan penyiasat penerbangan awam. "Satu pasukan dari Malaysia kini dalam perjalanan ke Toulouse termasuk pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam dan pasukan penyiasat MH370 serta Penerbangan Malaysia (MAS) dan pada masa sama, satu lagi pasukan meninjau ke kawasan serpihan itu ditemui di Pulau Reunion," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis. Perdana Menteri berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada serpihan itu daripada pesawat yang hilang itu walaupun laporan awal menunjukkan besar kemungkinan ia daripada Boeing 777, model sama pesawat MH370. "Lokasi penemuan serpihan itu konsisten dengan analisis yang disediakan kepada pasukan penyiasat Malaysia yang menunjukkan laluan dari selatan Laut Hindi ke Afrika," katanya. Beliau juga berjanji kepada semua waris dan keluarga penumpang serta kru pesawat itu bahawa Malaysia sama sekali tidak akan berputus asa untuk mencari pesawat berkenaan yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu itu. "Sebaik kami memperoleh maklumat tambahan atau pengesahan, ia akan dimaklumkan kepada umum. "Demi ahli keluarga dan waris yang kehilangan orang tersayang dan menanggung kesedihan tanpa sebarang kepastian, saya berdoa kebenaran dapat ditemui supaya ada penamat dan mereka lebih tenang," katanya. Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.