suria

Budak Jatuh Dari Tingkat Empat Kuarters TLDM

LUMUT: Seorang kanak-kanak berumur satu tahun 11 bulan nyaris maut apabila terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri kerajaan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, Selasa.

Dalam kejadian pukul 2.35 petang itu, Mohd Saif Miqdad Sabri hanya mengalami kecederaan ringan dan luka-luka di bahagian lengan kiri.

Mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain di beranda kediaman ibu bapanya di tingkat empat sebelum tersangkut di ampaian kain di tingkat dua dan kemudiannya terjatuh ke atas rumput di tingkat bawah.

Difahamkan, ketika kejadian ibunya Nur Hasliana Abu Hassan, 33, sedang menonton televisyen di ruang tamu sambil memerhati anaknya itu bermain di beranda.

Bagaimanapun, Nur Hasliana tidak menyedari anak bongsu dari tiga beradik itu memanjat pagar penghadang sebelum terjatuh di tingkat bawah sehingga diberitahu oleh jirannya.

Bapanya, Sabri Rahim, 33, yang ketika itu sedang berada di Tanjung Pengelih, Johor atas urusan kerja, berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan dari isterinya mengenai keadaan anaknya itu kira-kira pukul 3.30 petang dan segera mengambil bas dari Johor untuk melihat sendiri keadaan anaknya itu.

"Saya memang terkejut mendengar khabar mengenai anak saya itu dari isteri saya. Macam-macam yang saya fikirkan sebab banyak kes yang sama telah berlaku di beberapa pangsapuri di kawasan ini sehingga ada yang melibatkan korban nyawa.

Syukur, Alhamdulillah anak saya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. Cuma saya bimbang dia akan menerima kesan dan mengalami masalah kesihatan pada masa akan datang kerana dia terlalu kecil untuk jatuh setinggi itu," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seri Manjung, di sini, Rabu.

Sabri berkata dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan TLDM terutama KD Malaya dan pihak terbabit khususnya jirannya membantu menguruskan anaknya sehingga mendapatkan rawatan sementara menunggu beliau pulang dari Johor.

Pada waktu kejadian, Mohd Saif Miqdad ditemui jatuh tertiarap oleh penghuni rumah di aras bawah sebelum mereka menghantarnya ke Hospital Angkatan Tentera Lumut dan kini dipindahkan ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.

TLDM, Lumut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain