suria

Australia Tekad Cari Keadilan Walaupun Rusia Guna Kuasa Veto Tolak Resolusi MH17

Julie Bishop. Foto AFP

KUALA LUMPUR: Australia terus bertekad untuk mendapatkan keadilan buat mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan akan bekerjasama dengan Malaysia dalam menubuhkan satu model pendakwaan yang efektif bagi mendakwa pihak bertanggungjawab.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, negara itu komited terhadap pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden itu dan semua negara akan bekerjasama penuh bagi memastikan akauntabilitinya.

"Kita berterima kasih kepada Malaysia kerana usaha untuk mewujudkan tribunal antarabangsa melalui UNSC bagi membawa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 dibawa ke muka pengadilan.

"Kita amat menghargai usaha Malaysia, kita amat kesal dengan kuasa veto Rusia terhadap draf resolusi pada 29 Julai lalu," katanya ketika berucap pada sesi dialog Asean-Australia di sini, Rabu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014 semasa dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 orang termasuk 39 warga Australia.

"Kita tidak akan membiarkan pihak menembak jatuh pesawat komersial yang dinaiki mangsa yang tidak berdosa di ruang udara pesawat komersial.

"Terdapat harapan untuk kita mungkin hampir mencari penyelesaian tetapi pada masa ini, kita akan menerusikan operasi mencari di kawasan pencarian di kedua-dua lautan," katanya.

MH17

Artikel Lain