suria

GST: Pemilik Kedai Aksesori Kenderaan Didenda

KOTA BAHARU: Seorang pemilik kedai menjual aksesori kenderaan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah mengeluarkan invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir yang ditetapkan di bawah Peraturan 22 Peraturan-Peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Low So Uen, 43, sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) yang membuat perbekalan bercukai, didakwa melakukan kesalahan itu di Sri Handy Auto Accessories and Aircond di sini pada pukul 12 tengah hari 17 April lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 33(2) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Adli Abd Ghalib berkata jika tertuduh tidak membayar denda berkenaan dia boleh dipenjara selama tiga bulan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Koh Joo Kai.

GST, Mahkamah

Artikel Lain