suria

Operasi Pintu Masuk Malaysia, Brunei Dilanjut Hingga 12 Malam - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ketika mengadakan pertemuan di Istana Nurul Iman, Selasa. Kunjungan itu diadakan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin kali Ke-19 bersama Sultan Brunei yang diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara.

BANDAR SERI BEGAWAN: Operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei yang kini dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 malam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai hasil persetujuan bersama antara beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di sini, Selasa.

"Dari segi (waktu operasi) pintu masuk sekarang, terdapat kesukaran dalam kalangan orang ramai, sama ada dari Brunei ke Malaysia atau Malaysia ke Brunei.

Tempoh pembukaan di pintu masuk hanya sehingga 10 malam.

"Tuanku dan saya dah setuju untuk dilanjutkan sehingga 12 malam supaya perhubungan antara kedua-dua negara berjalan dengan lebih lancar lagi," katanya dalam sidang media pada akhir lawatan beliau ke Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini, Selasa.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh pelanjutan waktu operasi di  pintu masuk sempadan itu akan mula dikuatkuasakan.

Katanya, kajian juga akan dilakukan untuk melicinkan perjalanan antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak berikutan pasport perlu dicap banyak kali kerana terdapat banyak pintu masuk di sempadan kedua-dua negara.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei, yang merupakan agenda utama dalam Rundingan Tahunan Pemimpin kali ke-19, di Istana Nurul Iman di sini.

Pertemuan Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah berlangsung selama satu jam 15 minit. Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian dokumen-dokumen antara kedua-dua negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Mengulas lanjut berkenaan pertemuan dengan Sultan Brunei, Najib berkata Sultan Hassanal Bolkiah juga telah bersetuju untuk memberikan empat helikopter Black Hawk terpakai kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.

"Tuanku dan sahkan perkara ini akan dilaksanakan. Perkara ini akan disusuli nanti oleh Datuk Seri Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan. Kerjasama bidang pertahanan (Malaysia-Brunei) berada pada tahap yang baik," katanya.

Katanya hubungan yang terjalin selama ini antara kedua-dua negara akan terus dijadikan landasan untuk mengorak langkah ke hadapan serta menambah baik apa yang diusahakan, selain mencari bidang kerjasama yang baharu dan boleh diterokai bersama antara Malaysia dan Brunei.

Dalam aspek Asean, Najib berkata Sultan Brunei menyatakan bahawa negara itu akan terus memberi sokongan kepada Malaysia selaku Pengerusi Asean pada tahun ini.

"Dalam isu kompleks dan sensitif seperti Laut China Selatan dan tuntutan kawasan bertindih, perpaduan negara terlibat terutama negara-negara Asean yang ada tuntutan adalah amat penting. (Menerusi) Perpaduan Asean kita pastikan kita selesaikan masalah ini melalui rundingan dan berdasarkan prinsip yang sudah termeteri dalam "deklarasi tatalaku'.

"Harap dalam rundingan-rundingan selanjutnya akan menjamin Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman dan bebas yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan kestabilan rantau ini," katanya.-- Bernama



Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah

Artikel Lain