KOTA BARU: Seorang penganggur berusia 24 tahun didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membuat 'gigitan cinta' terhadap seorang gadis bawah umur. Majistret, Firdaus Zainal Abidin mengarahkan denda ke atas Ahmed Ezainie Shafizie Sazali atau penjara dua bulan kerana kesalahannya menggunakan kekerasan kepada seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Pair Ho, Kampung Pasir Ho pada pukul 1 pagi 5 Disember tahun lalu. Ahmed didakwa di bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Syahrun Nizam memohon supaya hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. Peguam yang mewakili Ahmed, Wan Mohd Ikram dalam rayuannya memohon mahkamah supaya mengenakan denda maksimum dan bukannya hukuman penjara dengan alasan bahawa tertuduh adalah penganggur dan ia merupakan kesalahan pertamanya. Denda berkenaan dibayar oleh ibu bapa Ahmed.