KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Shabery Cheek menasihatkan anggota-anggota parti supaya menegur pemimpin parti secara berhemah walaupun tidak berpuas hati dengan pemimpin berkenaan. Beliau berkata anggota parti perlu mengekalkan sikap santun dengan menegur pemimpin secara baik dan menggunakan saluran yang betul. "Saya faham ramai yang tidak puas hati dengan beberapa isu, tetapi mahu menegur biarlah dengan santun, bukan mengherdik dan menggunakan kata-kata kurang baik. "Tidak kira mahu menegur pemimpin atau bekas pemimpin, ia perlu dengan cara beradab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini, Selasa. Beliau mengulas tindakan sesetengah anggota Umno yang membuat teguran secara terbuka terhadap pemimpin parti. Mengenai perkembangan lain, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan supaya satu akta perlu diwujudkan bagi mengurus dana politik. Katanya sudah tiba masanya negara mempunyai undang-undang khas bagi mengurus dana politik supaya ia lebih telus dan teratur. "SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) misalnya boleh menjadi pihak yang memegang amanah bagi mengurus dana politik yang disalurkan untuk kegunaan tertentu," kata beliau. -- Bernama