suria

Seragamkan Operasi Bas Ekspres Secara Berpusat - Pembawa

Operasi bas ekspres di Pudu Sentral akan ditamatkan hujung tahun ini.

PETALING JAYA: Pengusaha bas ekspres terpaksa akur dengan arahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya berpindah ke TBS-BTS (Terminal Bas Selatan - Bandar Tasik Selatan), sekali gus menamatkan operasi di Pudu Sentral.

Semua pengusaha bas ekspres jarak jauh yang masih beroperasi di hentian tersebut sejak 39 tahun lalu diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk berpindah.

Ini berikutan semua bas ekspres jarak jauh di hentian Pudu Sentral akan beroperasi sepenuhnya di TBS-BTS pada awal tahun depan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajuddin Mohd Yunus merayu kepada kerajaan supaya menyeragamkan operasi perkhidmatan bas ekspres jarak jauh secara berpusat di TBS-BTS.

Beliau berkata, dua terminal bas sedia ada iaitu Hentian Duta dan Hentian Pekeliling juga wajar ditamatkan operasinya dan berpindah ke TBS-BTS seperti mana Pudu Sentral.

Katanya, tindakan itu wajar untuk berlaku adil dan menjaga kepentingan bersama semua pengusaha bas ekspres di ibu kota.

"Kami setuju pindah tapi pada masa sama mahu kerajaan menyeragamkan perkhidmatan bas ekspres di satu terminal sahaja iaitu di TBS-BTS seperti yang dilakukan di beberapa negeri termasuk Kedah, Kuantan, Kelantan, Terengganu dan Perak," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau, kerajaan perlu mencontohi Kedah yang menjadikan Terminal Bas Shahab Perdana yang terletak di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebagai stesen bas terbesar di negeri itu.

Malah, katanya, perkhidmatan teksi juga disediakan di terminal tersebut.

"Pendekatan seperti ini yang kita mahu, baharulah adil untuk semua pengusaha. Kita harap kerajaan ambil kira perkara ini demi kepentingan semua pengusaha bas ekspres," katanya.

Tajuddin turut mendakwa sekiranya Hentian Duta dan Pekeliling masih beroperasi seperti biasa, pengusaha di dua stesen terbabit akan memperoleh keuntungan sebanyak 80 peratus berbanding pengusaha di TBS-BTS.

"Hentian Duta melibatkan destinasi ke utara tanah air, manakala Hentian Pekeliling untuk penumpang ke Pantai Timur seperti Pahang dan Terengganu. Orang ramai pastinya akan memilih untuk pergi ke stesen lebih dekat berbanding TBS-BTS. Pengusaha di sana akan dapat keuntungan yang besar, jadi tidak adillah untuk yang diarah berpindah ke TBS-BTS nanti," katanya.

Beliau berkata, penyeragaman operasi bas ekspres di satu terminal sahaja perlu dilakukan untuk membantu semua pengusaha bersaing secara sihat dan membanteras kegiatan ulat tiket.

"Jika ditempatkan secara berpusat, saya berpendapat orang ramai mempunyai pelbagai pilihan bas ekspres untuk dinaiki. Malah, persaingan secara sihat juga dapat membantu pengusaha meneruskan operasi tanpa sebarang kesulitan," katanya.

Tajuddin berkata, jika cadangan tersebut tidak diambil kira, beliau khuatir ramai pengusaha yang akan gulung tikar kerana aliran tunai syarikat yang tidak begitu baik kebelakangan ini.

"Dalam keadaan sekarang, terdapat ramai pengusaha yang mengalami kerugian kerana terpaksa menanggung kenaikan kos operasi berikutan kadar tambang baharu masih lagi belum dimuktamadkan.

"Saya khuatir jika perpindahan itu tidak dikuatkuasakan kepada dua lagi hentian sedia ada, tidak mustahil pengusaha bas ekspres terutamanya di kalangan Melayu akan lingkup kerana menanggung beban hutang yang banyak," katanya.

Pada Khamis, SPAD mengesahkan operasi bas eskpres di Pudu Sentral atau sebelum ini dikenali sebagai hentian Pudu Raya akan ditamatkan hujung tahun ini.

Malah, notis pemindahan tersebut sudah dikeluarkan pengendali premis tersebut, UDA Mall Sdn Bhd kepada semua pengusaha bas ekspres yang terlibat.

Proses pemindahan sudah dikuatkuasakan sejak 15 Jun lalu sehingga hujung tahun ini.

Notis pemindahan itu dikeluarkan selepas mengambil kira kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota.


TBS-BTS, Tajuddin Mohd Yunus, Pembawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan