GEORGE TOWN: Seorang wanita cedera parah apabila keretanya terjunam dari aras tiga tempat letak kenderaan di bangunan pangsapuri Taman Pekaka dekat sini. Difahamkan, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu menetap di situ. Sumber berkata, kenderaan yang dipandu wanita berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika meninggalkan ruang letak keretanya. "Kereta itu melanggar tembok di aras tiga sebelum terjunam dan hentakan kuat itu menyebabkan wanita itu hanya separuh sedar ketika anggota bomba cuba mengeluarkannya dari kenderaan itu," katanya. Kata sumber itu lagi, seorang doktor yang melalui kawasan itu membantu wanita berkenaan dengan memberi khidmat rawatan kecemasan kepadanya sebelum ambulans tiba. Wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapat rawatan lanjut pada pukul 1 petang.