suria

KLFW 2015: BSN Mahu Tembusi Pasaran Generasi Muda

Siew Kin Meng. Foto YAP CHEE HONG / The Star

KUALA LUMPUR: Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015 menyaksikan Bank Simpanan Nasional (BSN) terus menjadi salah satu penaja utama acara berprestij ini.

Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Sokongan Korporat BSN, Siew Kin Meng berkata, sokongan berterusan diberikan kerana acara ini mampu memperkukuhkan jenama BSN dan berupaya memberi kesan positif kepada banyak pihak dalam jangka masa panjang.

Katanya, walaupun industri fesyen dan perbankan adalah dua bidang yang berbeza, namun secara tidak langsung ia sebenarnya mempunyai hubungan erat.

"Menjadi pereka tidak sekadar menghasilan rekaan tetapi ia juga merupakan satu perniagaan.

"Daripada satu idea dan kreativiti, ia boleh bertukar menjadi perniagaan yang kemudiannya mampu mengubah kehidupan seseorang khususnya pereka-pereka muda," katanya dalam temuramah khas bersama mStar Online sempena KLFW 2015 di Wisma BSN di sini, Jumaat.

Menurut Kin Meng, penglibatan BSN sebagai salah satu penaja utama KLFW sudah memasuki tahun kedua dan ia dilihat sebagai peluang baik untuk institusi kewangan ini meluaskan pasarannya.

Katanya, jika dahulu BSN lebih dikenali di kampung-kampung dan sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan rendah, BSN kini mempunyai matlamat untuk mengubah persepsi sedemikian dengan menembusi pasaran yang lebih muda.

"Ini satu peluang yang baik untuk kami menembusi pasaran berbeza daripada pasaran normal dan konvensional yang kami ada.

"Sekarang kami mahu mengubah profil pelanggan dengan memberi lebih pendedahan mengenai khidmat dan produk BSN kepada pasaran lebih muda," katanya.

Beliau berkata, penganjuran KLFW di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur membolehkan BSN mendekati pengunjung dan mempromosikan produk-produknya.

Katanya, ia bertepatan dengan sasaran pasaran institusi perbankan ini iaitu golongan muda di peringkat pertengahan dan atasan.

"Kita membuka kaunter dan booth untuk mempromosikan produk-produk yang kita ada selain menempatkan pegawai untuk memberikan khidmat nasihat bukan untuk pereka sahaja tetapi kepada semua yang berkunjung ke sana.

"Selain menggalakkan simpanan, kita juga menawarkan khidmat seperti pinjaman dan insurans di mana fokus kita memang untuk orang perseorangan dan bisnes kecil," katanya.

Mengulas lanjut mengenai KLFW 2015, Kin Meng berkata, selain membuka peluang kepada bakat muda memperagakan rekaan mereka di pentas berprestij, dalam masa yang sama BSN juga tidak mahu rekaan itu hanya dijadikan hiasan apabila acara itu menutup tirainya.

Katanya, sekurang-kurangnya pereka yang tampil dengan rekaan menakjubkan perlu mempunyai tempat untuk menjalankan perniagaan.

"Kepada pereka, kita mahu mereka sedar bahawa kita ada untuk membantu mereka.

"Kita menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pinjaman untuk memulakan perniagaan dan rundingan sebelum berniaga dan bagaimana untuk melabur selepas mendapat keuntungan, tentunya ia menjadi sesuatu yang bermakna untuk mereka," katanya.

Namun, di sebalik itu, katanya, BSN juga mahu realistik.

Jelasnya, BSN sedar bahawa penglibatan sebagai penaja tidak akan menunjukkan hasil dalam masa yang singkat terutama apabila pihaknya bermatlamat untuk menembusi pasaran baharu.

"Kesannya adalah perlahan, ia satu perjalanan bagi kami. Tidak mudah untuk menembusi pasaran baharu.

"Tetapi yang pasti kita mendapat maklum balas yang baik, ia kesan jangka panjang," katanya.

Mengenai KLFW 2015, beliau berpandangan bahawa rekaan yang ditampilkan sangat kreatif dan menakjubkan serta mampu menembusi pasaran luar Malaysia.

KLFW 2015 membuka pentas peragaannya secara rasmi bermula 12 hingga 16 Ogos.

Tampil dengan konsep Ready-to-Wear 2015, ia dirasmikan  Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Acara yang penganjurannya masuk tahun ketiga ini menempatkan lebih 80 pereka tempatan dan antarabangsa, antaranya dari China, Britain, Singapura, Australia dan Indonesia, yang akan mempamerkan koleksi eksklusif di pentas peragaan.


BSN, KLFW, Siew Kin Meng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain